GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Alasan tidak sihat dan berpuasa menyebabkan beberapa individu tidak hadir dalam temu janji suntikan vaksin Covid-19.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin berkata, bagi mengelakkan pembaziran vaksin, kakitangan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) akan menghubungi individu lain yang tersenarai untuk menerima vaksin.

"Jika mereka memaklumkan tidak dapat hadir untuk terima vaksin, PPV akan menyediakan senarai gantian untuk mengelakkan pembaziran.

"Untuk menukar tarikh, kakitangan kita akan bantu untuk memaklumkan kepada Bilik Gerakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau individu itu sendiri akan menghubungi talian hotline.

"Setakat ini individu yang tidak hadir bagi suntikan vaksin bagi fasa dua adalah seramai 1,800 orang dan mereka memaklumkan tidak sihat serta sedang berpuasa," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Menurutnya, hanya segelintir sahaja daripada mereka enggan menerima vaksin dan rakyat yang sudah mendaftar supaya hadir untuk menerima suntikan vaksin.

Media sebelum ini melaporkan seramai 50,000 individu di Kelantan sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bagi fasa pertama dan fasa kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Mei 2021 @ 2:44 PM