GAMBAR hiasan. FOTO fail
GAMBAR hiasan. FOTO fail
Nur Izzati Mohamad


Georgetown: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan meminda Akta Makanan 1983 selain menaikkan denda kepada RM30,000 ke atas pemilik kilang makanan yang didapati mengabaikan tahap kebersihan dan membiarkan premis beroperasi dalam keadaan kotor

Ini berikutan, CAP berpandangan Seksyen 11 Akta Makanan 1983 tidak mencukupi untuk mencegah pemilik kilang makanan apatah lagi perlu mengambil kira sebahagian besar daripada penduduk yang boleh terjejas oleh penyebaran makanan tercemar daripada kilang yang tidak menjaga aspek kebersihan.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, amalan tidak bersih dan kotor juga boleh menyebabkan pelanggan yang memakannya mengalami keracunan makanan sekali gus mencemarkan nama baik pengusaha yang mematuhi amalan standard pengendalian makanan.

"Oleh itu, CAP menggesa kerajaan supaya mempertimbangkan untuk menaikkan lagi denda kepada RM30,000 dengan mengambil kira kesan kesihatan yang serius akibat memakan makanan tidak bersih dan meminda Akta Makanan dengan sewajarnya.

"Ketika ini, perintah penutupan dengan segera tidak melebihi 14 hari bagi mana-mana premis yang menyediakan atau menjual makanan.

"Jika disabitkan kesalahan, boleh dipenjarakan untuk tempoh tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. Ia dilihat tidak mencukupi," katanya pada kenyataan di sini, hari ini.

CAP mengeluarkan kenyataan itu susulan laporan Harian Metro baru-baru ini yang mendedahkan empat perusahaan fucuk di Sungai Bakap, Nibong Tebal dikompaun kerana beroperasi dalam keadaan kotor.

Bukan itu sahaja, kesemua premis itu didapati didirikan di atas bekas tapak kandang ternakan babi sekali gus menyebabkan kawasan berkenaan dihurung lalat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2021 @ 4:17 PM