Mohd Noh Mansor, bekas anggota PPH. FOTO MOHD AMIN JALIL
Mohd Noh Mansor, bekas anggota PPH. FOTO MOHD AMIN JALIL
Mohd Amin Jalil


Seremban: Pengalaman bertempur dengan komunis dan menyaksikan ketua platun sendiri maut ditembak komunis dalam serang hendap, sukar dilupakan sepanjang hayat buat bekas anggota Pasukan Polis Hutan (PPH), Mohd Noh Mansor.

Mohd Noh, 71, berkata kejadian itu berlaku berhampiran Sungai Batang Rajang di Sarikei, Sarawak pada awal tahun 1971, ketika beliau bersama Platun 10 PPH berpangkalan di Sungkai Perak, sedang mengadakan operasi memburu komunis di sepanjang pinggir sungai itu.

"Saya bersama 36 anggota dalam Platun 10 diberi tugas mengawal kawasan di situ selepas mendapat maklumat terdapat saki baki anggota komunis berkeliaran di kawasan terbabit.

"Bagaimanapun dalam operasi itu, platun kami diserang hendap sekumpulan komunis dengan ketua platun ketika itu yang dikenali sebagai Sarjan Lee, mati apabila terkena tembakan di bahagian dahi.

"Saya bersama rakan dalam platun ketika itu tergamam atas kejadian yang berlaku di depan mata dan kemudian bertindak balas menembak kembali ke arah kumpulan komunis berkenaan," katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Hari Bersama Pesara/Bekas Polis anjuran Persatuan Bekas Anggota Skuad 69 Polis Diraja Malaysia (PB Skuad 69) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), di sini, hari ini.

Mohd Noh yang kini menetap di Taman Panchor Jaya Paroi, di sini, berkata kejadian itu membakar semangat rakan lain untuk terus berjuang memburu komunis.

Bapa kepada dua anak itu berkata, selepas kejadian itu beliau tidak ketinggalan menyertai pelbagai operasi membanteras komunis di beberapa tempat di Sabah dan Sarawak selain di kawasan sempadan Malaysia-Thailand.

Menurutnya, peristiwa lain yang turut dikenang sehingga sekarang termasuk platun dianggotainya diserang hendap komunis yang berlaku di kawasan Sungai Bidut Sibu, Sarawak, pada petang menjelang sambutan Aidilfitri pada 1971.

"Ketika itu kami sedang membuat persiapan untuk balik ke unit bagi menyambut Aidilfitri keesokannya, tetapi kami diserang hendap kumpulan komunis pada jam 5 petang, menyebabkan hasrat untuk pulang terpaksa dilupakan.

"Sebaliknya kami diarah terus bertahan di lokasi berkenaan sehingga kawasan itu selamat daripada saki baki komunis.

"Syukur ketika itu tiada kalangan anggota pasukan yang menjadi sasaran atau ditembak oleh komunis," katanya yang memasuki PPH pada 8 Jun 1969.

Beliau yang berkhidmat dalam PDRM selama 36 tahun termasuk dalam PPH selama 26 tahun dan bakinya sebagai anggota polis biasa selama 10 tahun, akui pengalaman bertempur dengan komunis adalah detik sukar yang tidak mungkin dilupakan.

"Sepanjang perkhidmatan dalam PPH, tidak kurang 15 operasi dan pertempuran melawan komunis yang saya sertai dengan kebanyakannya di Sabah dan Sarawak, bagi menjaga keselamatan tanah air," katanya.

Menurut Mohd Noh, atas segala perjuangan dan sumbangannya dalam perkhidmatan itu, beliau menerima beberapa anugerah antaranya Pingat Jasa Pahlawan Negara yang diterimanya sebelum bersara pada 2005.

Beliau berkata, Sultan Pahang ketika itu, Allahyarham Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'azzam Shah menyampaikan anugerah berkenaan pada satu majlis yang berlangsung di Kuantan.

"Semua pengalaman itu amat berharga. Saya juga berterima kasih kepada rakan seperjuangan dahulu yang tidak pernah gentar dalam menjalankan tugas," katanya yang menamatkan perkhidmatan sebagai Lans Koperal di IPK Seremban pada 2005.

Beliau kini aktif dalam persatuan pesara polis berkenaan sebagai ahli jawatankuasa bagi mengisi masa lapang selepas bersara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2021 @ 3:47 PM