SHAARI menunjukkan Sijil Penghargaan Perkhidmatan Cemerlang yang diperoleh. Gambar kecil, gambar kenangan Shaari bersama rakan sepasukan.
SHAARI menunjukkan Sijil Penghargaan Perkhidmatan Cemerlang yang diperoleh. Gambar kecil, gambar kenangan Shaari bersama rakan sepasukan.
Mohammad Ishak


SEBATANG balak yang tumbang menjadi benteng menyelamatkan enam anggota Pasukan Polis Hutan (PPH) daripada peluru musuh ketika operasi mencari komunis di Kampung Lalang, Pengkalan Hulu, Grik, Perak, pada 1980.

Pesara polis, Shaari Abu Bakar, 67, dari Taman Seri Sepakat, di sini, berkata, pengalaman itu sangat amat menakutkan ketika dia bersama lima rakan dari Platun 3, Kompeni A PPH ditugaskan melakukan operasi mengesan pergerakan komunis di Perak.

Katanya, sebaik tiba di hutan berkenaankira-kira jam 6 petang, komunis secara tiba-tiba melepaskan tembakan dan peluru berterbangan di atas kepala.

Katanya, namun mereka bertindak pantas menyelamatkan diri dengan berselindung pada sebatang batang balak tumbang di tepi sungai.

Shaari berkata, terkejut dengan tembakan bertalu-talu musuh, pasukannya menghubungi anggota tambahan yang bergegas ke lokasi untuk memberikan bantuan.

Katanya, menerusi perhubungan menggunakan sistem wireless, anggota tambahan bertindak pantas memasuki kawasan bergolak itu untuk memberi bantuan.

Katanya, selepas berlaku pertempuran kumpulan komunis berkenaan melarikan diri dari lokasi kejadian.

“Jika tidak ada balak yang tumbang, kami tidak ada tempat untuk berlindung dan mungkin menjadi korban serangan komunis,” katanya.

“Pada keesokannya anggota platun bergerak menjejak pergerakan komunis dan menemui pakaian termasuk topi dan kesan tompokan darah musuh,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Katanya, pengalaman pahit berdepan komunis di hutan Perak masih segar sehingga kini kerana ia perjuangan hidup mati mempertahankan tanah air daripada ancaman musuh.

Shaari mengikuti latihan selama tiga bulan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Kuala Lumpur pada 1967. Sebaik tamat latihan, dia ditugaskan dalam PPH di Ulu Kinta, Perak.

Katanya, sepanjang bertugas dengan PPH dia menyertai tiga operasi di Raub, Pahang, Gua Musang, Kelantan dan Grik, menjejak pengganas pergerakan komunis.

Katanya, dalam tempoh perkhidmatan yang berakhir pada 1995, dia menerima sijil penghargaan daripada Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Rahim Nor.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Ogos 2018 @ 9:33 AM