GAMBAR kenangan Md Sarif   (kiri)  dalam Tiger Platoon  dari Batalion 8 Rejimen Askar Melayu Diraja. FOTO Hassan Omar
GAMBAR kenangan Md Sarif (kiri) dalam Tiger Platoon dari Batalion 8 Rejimen Askar Melayu Diraja. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar

Alor Gajah: Memikul jenazah pegawai yang disangka masih bernyawa meninggalkan kesan amat memilukan dalam sanubari Md Sarif Haron, 72, tatkala mengimbau pengalamannya sebagai anggota tentera ketika berdepan pengganas komunis.

Masih terasa bagaimana darah daripada perut Allahyarham Leftenan Abdul Razak Husin membasahi seluruh tubuhnya ketika memikul pegawainya itu untuk mencari perlindungan selepas diserang hendap komunis.

Mengimbau kenangan pahit pada 1 Ramadan 1970, Prebet Md Sarif dan arwah Abdul Razak serta tiga lagi anggota Tiger Platoon atau Platun Harimau dari Batalion 8 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) melakukan rondaan dalam kebun lada hitam di Batu Kawah, tidak jauh dari Kuching, Sarawak.

“Dalam kebun itu ada beberapa rumah penduduk kampung dan sayup-sayup kami terdengar ketukan kayu dari rumah itu.

“Tiba-tiba terdengar tembakan bertalu-talu pengganas komunis dari lereng bukit dan saya lihat arwah sudah tersungkur sambil menjerit kesakitan,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Ramuan Cina Kecil, Masjid Tanah, semalam.

Tanpa berlengah lagi, Md Sarif memikul pegawainya itu dan melarikan diri daripada kumpulan pengganas komunis yang dianggarkan seramai antara lapan hingga 10 orang.

MD Sarif menunjukkan gambar dia berkhidmat sebagai anggota tentera di kediamannya di Kampung Ramuan Cina Kecil. FOTO Hassan Omar
MD Sarif menunjukkan gambar dia berkhidmat sebagai anggota tentera di kediamannya di Kampung Ramuan Cina Kecil. FOTO Hassan Omar

Dalam keadaan perut arwah yang sudah terburai, Md Sarif cuba memberikan rawatan tetapi hakikatnya pegawainya itu sudah tidak bernyawa lagi.

“Saya terus mencapai senjata dan menyertai pasukan Sarjan Kamarudin yang berada tidak jauh dari pasukan kami membalas serangan pengganas.

“Seorang anak buah Sarjan Kamarudin terkena tembakan di tangan dan selepas berbalas tembakan kira-kira 20 minit, pengganas melarikan diri ke dalam hutan tebal,” katanya.

Dalam peristiwa lain pada hari ketujuh sambutan Tahun Baru Cina pada 1971, Md Sarif dan beberapa anggota Tiger Platoon yang diketuai Leftenan Yusof Babu, mengepung sebuah rumah papan dalam kebun lada hitam di Bau, Sarawak.

“Kira-kira jam 6.30 pagi kami nampak kelibat lima pengganas komunis masuk ke dalam rumah itu untuk mengambil makanan.

“Sebaik saja semua pengganas sudah masuk, kami serang bertubi-tubi dan berjaya membunuh dua pengganas, iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan,” katanya.

Selain itu, peristiwa dia diserang hendap ketika berada dalam kereta perisai Armoured Personnel Carrier (APC) di Kem Gubir, Sik Kedah pada 1972 juga hampir meragut nyawanya.

MD Sarif ketika  berkhidmat sebagai anggota tentera. FOTO Hassan Omar
MD Sarif ketika berkhidmat sebagai anggota tentera. FOTO Hassan Omar

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Ogos 2018 @ 10:09 AM