GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Noor Atiqah Sulaiman

Putrajaya: Kementerian Pendidikan (KPM) akan berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya penggunaan kelas di sekolah menengah sebagai Pusat Mengundi untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dapat dikurangkan.

Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, pihaknya meminta SPR supaya tidak membabitkan bilik darjah akan digunakan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.

"Bilik peperiksaan ini sudah disusun pihak sekolah dan guru, ia sudah mengikut indeks nama murid. Sebarang gangguan susunan atau aturan itu boleh memberi implikasi besar.

"Jadi, kita sudah maklumkan perkara ini kepada pihak sekolah, dan KPM akan berbincang dengan SPR untuk elakkan penggunaan bilik utama untuk peperiksaan berkenaan," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Yayasan Didik Negara (YDN), di sini, hari ini.

Radzi berkata, secara umumnya pihak SPR memaklumkan akan menggunakan 151 sekolah menengah bagi PRN Johor yang dijadualkan pada 12 Mac ini.

Beliau berkata, KPM tetap dengan pendirian supaya sekolah menengah di Johor tidak digunakan sebagai pusat mengundi, namun pihaknya terpaksa akur kerana SPR mempunyai akta yang membolehkan suruhanjaya itu mengambil sekolah terbabit sebagai tempat mengundi sekiranya didapati perlu.

Dalam pada itu, beliau turut memohon kepada SPR untuk kecualikan guru terbabit sebagai pengawas peperiksaan, petugas peperiksaan atau pemeriksa markah daripada menjadi petugas PRN.

"KPM sedar bahawa ini adalah tempoh penting dan perlu menumpukan sepenuhnya dalam pelaksanaan SPM. Kita perlu jalankan dalam keadaan teratur dan sebab itu kita memohon supaya SPR ini kecualikan guru ini daripada menjadi petugas.

"Oleh itu, guru terbabit perlu memaklumkan kepada wakil SPR di kawasan masing-masing dan maklumkan sekiranya mereka ada pengganti. Sekiranya tiada pengganti, guru ini perlu maklumkan kepada wakil SPR," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kebarangkalian calon yang positif Covid-19 untuk menduduki SPM, Radzi berkata, mereka yang perlu menjalani kuarantin tidak perlu mengambil peperiksaan itu.

"Mereka yang dijangkiti Covid-19 ketika SPM akan menduduki peperiksaan itu pada sidang berikutnya yang tarikh ujiannya akan diberitahu kemudian.

"Ini sama kita laksanakan pada ujian lisan tempoh hari, mereka yang positif tidak perlu ambil ujian dan akan ambil peperiksaan itu kemudian.

"Bagi calon sedang menduduki peperiksaan, namun pihak sekolah baru mendapat maklumat individu itu positif, calon itu akan diletakkan dalam satu bilik khas disediakan di sekolah berkenaan.

"Calon yang menjadi kontak rapat pula, sekiranya perlu menjalani kuarantin, dia tidak perlu hadir ke tempat peperiksaan. Namun yang menjadi kontak rapat ini perlulah menunjukkan pengesahan daripada Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Februari 2022 @ 6:34 PM