Radzi. FOTO Arkib NSTP
Radzi. FOTO Arkib NSTP
Mohamad Fahd Rahmat


Johor Bahru: Kementerian Pendidikan (KPM) menetapkan untuk meneruskan sesi persekolahan Mac ini dan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 dijalankan seperti yang dijadualkan.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, KPM komited untuk memastikan pengoperasian sekolah berjalan lancar, teratur dan selamat dengan memastikan kesemua Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19 dipatuhi.

"Meskipun berlaku peningkatan kes Covid-19, namun jumlah kes bagi Kategori 4 dan 5 adalah kecil.

"Kita mengambil kira pengalaman pelaksanaan SPM 2020 pada Februari tahun lalu berjalan lancar dan sudah mempunyai SOP lengkap berhubung perkara itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sesi Libat Urus Bersama Warga Pendidik dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Johor Bahru di sini hari ini.

Radzi berkata, jumlah kes baharu tidak memberi tekanan kepada sistem kesihatan negara, justeru peperiksaan SPM tiada masalah untuk diteruskan.

"Ini kerana lebih 90 peratus pelajar Tingkatan 5 sudah lengkap divaksin, berbeza dengan pelajar yang menduduki SPM pada tahun lalu.

"Kita juga mengambil pertimbangan ini dengan melihat konteks kesihatan lebih besar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Februari 2022 @ 6:28 PM