ANTARA pengunjung yabg diperiksa dalam serbuan di dua pusat hiburan di Jalan Puchong dan Jalan Syed Putra, Kuala Lumpur, pada Khamis dan Jumaat lalu. FOTO Ihsan PDRM
ANTARA pengunjung yabg diperiksa dalam serbuan di dua pusat hiburan di Jalan Puchong dan Jalan Syed Putra, Kuala Lumpur, pada Khamis dan Jumaat lalu. FOTO Ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Keseronokan 70 pelanggan berhibur di sebuah pusat hiburan di Jalan Puchong, di sini, 'terbantut' apabila premis berkenaan diserbu sepasukan polis, Jumaat lalu.

Dalam serbuan 10.30 malam, seramai 60 lelaki dan 10 wanita dikenakan kompaun RM1,000 kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Annuar Omar berkata, saringan ujian air kencing mendapati sembilan lelaki serta tujuh wanita termasuk tiga warga asing didapati positif pelbagai jenis dadah

Menurutnya, pihaknya turut menahan lima individu termasuk dua wanita warga Indonesia berusia 18 hingga 50 tahun dipercayai pekerja di pusat hiburan terbabit.

"Kami merampas pelbagai barangan termasuk monitor, pemain cakera padat digital (DVD), set karaoke dan mikrofon selain ganja seberat 0.5 gram serta satu pil Erimin 5 seberat 0.3 gram.

"Siasatan dibuat mengikut Akta Hiburan Wilayah Persekutuan 2003, Akta Imigresen 1959/63, Akta Pertubuhan 1966, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengecualian) 2021 dan Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Sementara itu, Annuar berkata, pihaknya turut menyerbu sebuah pusat hiburan di Jalan Syed Putra, di sini, pada 11.30 malam, Khamis lalu.

"Dalam serbuan itu, polis menahan seorang wanita berasal dari Sarawak dan tiga lelaki warga Bangladesh berusia 27 hingga 43 tahun.

"Kami merampas beberapa barangan seperti dua resit, satu televisyen, satu monitor komputer, satu unit pemprosesan komputer (CPU) dan dua mikrofon," katanya.

Katanya, siasatan mendapati premis itu memiliki lesen restoran atau kedai makan (bar tanpa hiburan) dan lesen rumah awam atau rumah bir.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 4bAkta Hiburan Wilayah Persekutuan 2003 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1963," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Februari 2021 @ 2:15 PM