ANTARA wanita ditahan dalam operasi berkenaan. FOTO Ihsan PDRM
ANTARA wanita ditahan dalam operasi berkenaan. FOTO Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Panik melihat kehadiran polis menyebabkan lapan wanita disyaki pelayan pelanggan (GRO) yang menawarkan khidmat seks bersembunyi di dalam bilik sebuah pusat hiburan di Changkat Thambi Dollah, di sini, pagi ini.

Bagaimanapun, cubaan mereka itu gagal selepas Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur yang membuat pemeriksaan menerusi Op Noda bermula jam 2 pagi, menahan mereka.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, pihaknya turut menahan tujuh lelaki termasuk dua pelanggan.

"Kesemua wanita itu yang berada di bilik karaoke melarikan diri dengan masuk ke dalam bilik di dalam premis berkenaan selepas menyedari kehadiran polis.

"Polis turut merampas satu unit Digital Matrix Processors, satu unit Karaoke Professional Digital Audio, satu pembesar suara, sebuah pemprosesan komputer (CPU), dua mikrofon dan tujuh kondom," katanya dalam kenyataan hari ini.

Nasri berkata, hasil ujian saringan air kencing ke atas kesemua individu berusia antara 19 hingga 57 tahun itu mendapati seorang lelaki yang juga pekerja dan lima wanita positif methamphetamine.

"Kesemua individu itu akan ditahan reman bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur; Seksyen 55 B, Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(b) Akta Imigresen dan Seksyen 22 (b) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 1988" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Julai 2021 @ 10:00 AM