Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Seramai 17 wanita warga asing dipercayai bekerja sebagai GRO yang menemani pelanggan makan di meja ditahan dalam serbuan di restoran dan kafe di Jalan Solaris, di sini, malam ini.

Difahamkan sebahagian wanita warga asing berkenaan akan bergerak dari satu meja ke satu meja pelanggan lain di dalam premis berkenaan bagi menawarkan khidmat sebagai 'peneman'.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusoff berkata, ketika serbuan dilakukan pada 8 malam, kedengaran bunyi muzik kuat dari premis berkenaan.

"Dalam serbuan ini, kami menahan 10 wanita warga Thailand, tiga wanita warga Indonesia, tiga wanita warga Vietnam dan seorang wanita warga Laos.

"Selain itu, kami turut menahan seorang wanita tempatan yang berperanan sebagai 'Mummy' serta seorang lelaki tempatan bekerja sebagai pengurus premis.

SEBAHAGIAN wanita yang ditahan dalam operasi di pusat hiburan di Jalan Solaris, malam ini. FOTO MOHD YUSNI ARIFFIN
SEBAHAGIAN wanita yang ditahan dalam operasi di pusat hiburan di Jalan Solaris, malam ini. FOTO MOHD YUSNI ARIFFIN

"Semua individu yang ditahan dalam serbuan itu berusia antara 21 hingga 43 tahun," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas dua resit jualan, satu monitor, satu pembesar suara dan satu unit pemprosesan komputer (CPU).

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1992, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6(1)(c) akta sama dan Peraturan 39b Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mac 2021 @ 11:42 PM