MAJLIS penyampaian replika cek dan komputer riba disempurnakan oleh Dr Ahmad Shahir (dua dari kanan) kepada Pengurus Operasi YIDE, Md Ariffin Jaafar. FOTO ihsan MAIS
MAJLIS penyampaian replika cek dan komputer riba disempurnakan oleh Dr Ahmad Shahir (dua dari kanan) kepada Pengurus Operasi YIDE, Md Ariffin Jaafar. FOTO ihsan MAIS
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Seramai 19 anak yatim yang cemerlang dalam pelajaran menerima sumbangan komputer riba daripada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Setiausaha MAIS, Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata, MAIS memperuntukkan RM38,000 untuk pembelian komputer riba berkenaan.

Katanya, penerima terdiri daripada anak yatim yang cemerlang dalam pelajaran di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

"MAIS berharap bantuan yang disalurkan ini mampu menyuntik motivasi kepada anak yatim yang cemerlang supaya berusaha lebih gigih dalam pelajaran.

"Sumbangan ini diberi dengan menggunakan peruntukan Baitulmal MAIS yang diserahkan melalui Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE), anak syarikat MAIS selaku agensi yang mengawalselia rumah anak yatim di Selangor.

"Ia bertujuan membantu pelajar atau anak yatim mengadaptasi norma baharu sesi pengajian di dalam talian dan pengajaran di luar kampus," katanya.

Antara rumah anak yatim yang terpilih menerima bantuan berkenaan ialah di Rumah Kasih Harmoni, Paya Jaras; Rumah Bakti Dato' Haron, Ampang dan Rumah Rukayyah, Kajang.

Sementara itu, Pengetua Rumah Kasih Harmoni, Jamaluddin Wahab mengucapkan ribuan terima kasih kepada MAIS atas inisiatif menyumbangkan komputer riba kepada rumah anak yatim di bawah seliaannya.

"Terima kasih kepada pihak MAIS, YIDE atas sumbangan komputer riba kepada anak-anak yatim yang mengikuti pengajian di IPTA dan IPTS.

"Semoga pemberian ini akan dimanfaatkan oleh pelajar sepenuhnya untuk berjaya di masa akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Februari 2021 @ 3:21 PM