RAJA Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah menyerahkan sumbangan kepada anak yatim berdaftar dengan YIDE dalam satu majlis penyerahan pada Ramadan tahun lalu. FOTO Ihsan YIDE
RAJA Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah menyerahkan sumbangan kepada anak yatim berdaftar dengan YIDE dalam satu majlis penyerahan pada Ramadan tahun lalu. FOTO Ihsan YIDE
Ruwaida Md Zain


SETIAP tahun, sudah menjadi satu tradisi, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah menyantuni dan menyerahkan sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada anak-anak yatim di Selangor pada Ramadan.

Namun, berbeza pada tahun ini apabila sumbangan hanya dikreditkan ke akaun bank anak-anak yatim terbabit berikutan arahan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Pengurus Besar Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE), Nur Mohd Razali Abdullah berkata, pada tahun ini, sejumlah RM742,000 diperuntukkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) melalui YIDE bagi sumbangan Aidilfitri kepada anak-anak yatim di sembilan daerah di negeri ini yang berdaftar dengan YIDE.

“Sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada anak-anak yatim akan diteruskan, tetapi program tahunan penyerahan bersama Raja Muda Selangor pada Ramadan tahun ini dibatalkan.

“Ini mengambil kira faktor keselamatan susulan penularan wabak Covid-19 yang masih belum dapat dibendung sepenuhnya, selain bagi mengelak rakyat daripada risiko terkena jangkitan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nur Mohd Razali berkata, 7,420 orang anak yatim itu akan menerima sumbangan sebanyak RM100 setiap seorang.

“Sumbangan akan dikreditkan terus ke dalam akaun anak-anak yatim atau penjaga secara berperingkat selewat-lewatnya pada 8 Mei depan.

“Bilangan anak yatim berdaftar adalah Klang seramai 1,288 orang, Petaling (1,267), Sabak Bernam (400), Kuala Selangor (763), Hulu Langat (1,179), Sepang (330), Gombak (1,121), Hulu Selangor (543) dan Kuala Langat (529).

“Kaedah sumbangan pada tahun ini juga, tidak lagi melalui pihak masjid, dan akan terus dimasukkan ke dalam bank akaun penjaga atau anak-anak yatim yang berdaftar dengan YIDE,” katanya.

Beliau berkata, YIDE berterima kasih kepada penyumbang khususnya MAIS yang memperuntukkan geran tetap serta penyumbang lain terdiri daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC), swasta dan

korporat yang menyumbang pada tahun ini.

“YIDE turut membuka ruang kepada umat Islam untuk bersama menyumbang kepada YIDE pada bulan Ramadan melalui pelbagai platform pembayaran atas talian (online) yang lebih mudah dan selamat.

“Sumbangan boleh disalurkan melalui Billplz: https://yide.com.my/donations/infaq-dana-anak-yatim/, Perbankan internet, Aplikasi Jom Pay (Biller Code: 81059), dan Aplikasi Snap and Pay.

“Segala sumbangan akan dikecualikan cukai pendapatan dan potongan di bawah Subseksyen 44 (6) Akta Cukai Pendapatan 1967, Nombor Rujukan LHDN. 01/35/42/51/179-6.7622, bertarikh 15 November 2019 melalui Resit Rasmi, YIDE,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2020 @ 10:44 AM