GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) merekodkan sebanyak RM1.99 bilion jumlah deposit akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) bagi tahun 2020, meningkat sebanyak RM623.82 juta atau 45.58 peratus berbanding RM1.37 bilion pada tahun 2019.

Dalam satu kenyataan hari ini, PTPTN berkata rekod itu pencapaian cemerlang untuk tiga tahun berturut-turut sejak 2018, terutama dalam menggalakkan penabungan melalui SSPN.

"Jumlah keseluruhan deposit SSPN terkumpul sehingga 31 Disember, 2020 ialah RM7.88 bilion, manakala terimaan deposit berjumlah RM1.99 bilion bagi tahun 2020 ini merupakan 132.82 peratus berbanding sasaran tahun 2020 sebanyak RM1.5 bilion," katanya.

Bagi prestasi pembukaan akaun baharu SSPN pula, sebanyak 436,101 akaun telah dibuka pada tahun 2020 berbanding sasaran tahunan sebanyak 400,000 akaun, kata PTPTN.

"Pencapaian 109.03 peratus ini adalah tinggi berbanding sasaran tahunan. Secara keseluruhan, sehingga 31 Disember, 2020 sebanyak 4.82 juta akaun SSPN telah dibuka sejak instrumen simpanan ini diperkenalkan pada tahun 2004.

"Keuntungan pelaburan terkumpul juga menunjukkan kenaikan bagi tahun 2020 kepada RM237.42 juta, peningkatan sebanyak 15.7 peratus berbanding RM205.28 juta pada tahun sebelumnya," kata PTPTN.

Sementara itu, Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata pencapaian cemerlang ini adalah hasil dedikasi pegawai PTPTN di semua peringkat termasuk sokongan daripada seluruh Ahli Lembaga Pengurusan PTPTN.

"Banyak lagi kita perlu lakukan untuk benar-benar mengubah budaya masyarakat dan sudah pasti saya bersama semua ahli keluarga PTPTN akan teruskan dengan usaha-usaha yang kita rancang." katanya.

Pada tahun 2020, PTPTN telah berjaya membantu seramai 150,567 pelajar yang ditawar melanjutkan pengajian ke Institusi Pendidikan Tinggi melalui pinjaman pendidikan yang diluluskan berjumlah RM3.59 bilion sehingga mereka tamat belajar.

Daripada jumlah itu seramai 59,421 pelajar atau 39.46 peratus membabitkan pinjaman pendidikan RM1.6 bilion adalah daripada golongan B40 dan kurang berkemampuan, manakala kutipan bayaran balik sebanyak RM1.353 bilion direkodkan, ia melebihi sasaran pada tahun 2020 sebanyak RM1.175 bilion.

Wan Saiful berkata pada tahun 2021, PTPTN akan teruskan usaha membudayakan penabungan supaya kebergantungan kepada hutang akan berkurangan pada masa depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Februari 2021 @ 4:48 PM