MUKHRIZ  (tiga dari kiri)  merasmikan Program Jelajah SSPN di Seri Mentaloon, semalam. FOTO Amran Hamid
MUKHRIZ (tiga dari kiri) merasmikan Program Jelajah SSPN di Seri Mentaloon, semalam. FOTO Amran Hamid
Aizat Sharif

PERBADANAN Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyasarkan jumlah simpanan RM1 bilion dengan penambahan 500,000 akaun baharu sehingga akhir tahun ini menerusi jelajah Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) yang bermula bulan ini.

Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan berkata, 2019 tahun yang mencabar bagi PTPTN dalam menggalakkan masyarakat menabung bagi tujuan pendidikan tinggi.

“Peningkatan jumlah simpanan dan bilangan akaun SSPN dibuka setiap tahun menunjukkan semakin ramai rakyat Malaysia sedar kepentingan merancang kewangan demi melihat anak melanjutkan pengajian.

“Pada 2018, PTPTN mengutip deposit SSPN berjumlah RM1.13 bilion dan jumlah penabungan tertinggi yang pernah dicapai oleh PTPTN sejak produk SSPN diwujudkan pada 2004,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Program Jelajah SSPN 2019 peringkat negeri Kedah di Dewan Sri Mentaloon, Anak Bukit, Alor Setar.

Majlis dirasmikan Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Turut hadir EXCO Pendidikan, Sumber Manusia dan Pembangunan Insan negeri Dr Salmee Said dan Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar dan Operasi) PTPTN Mastura Mohd Khalid.

Menurut Wan Saiful, 678,829 akaun baharu dibuka sepanjang 2018 dan ia juga pencapaian tertinggi dalam sejarah PTPTN.

“Jumlah itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding 2017. Pada 2018, kami merekodkan pembukaan akaun oleh individu berjumlah RM404.48 juta.

“Pada masa sama, bagi 2018, sebanyak 231,790 akaun baharu dibuka. Ini kejayaan besar dalam usaha PTPTN menggalakkan simpanan dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, pelbagai strategi dan langkah diambil PTPTN dalam memberi kesedaran kepada orang ramai berkaitan kepentingan menabung bersama SSPN.

“Ini termasuk memperkukuh kerjasama sedia terjalin dengan kerajaan negeri seperti Kedah.

“Malah, jelajah ini akan diperluaskan ke seluruh negara sehingga akhir tahun ini merangkumi Sabah dan Sarawak sebelum berakhir di Johor,” katanya.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, Mukhriz dan Wan Saiful menyerahkan sumbangan simpanan akaun SSPN-i kepada 4,920 pelajar dari 36 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 15 kawasan Parlimen di negeri ini berjumlah RM492,000.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Ogos 2019 @ 6:01 AM