Zaid Salim
am@hmetro.com.my


Kuala Berang: Sistem subsidi berkemungkinan dikenakan ke atas pengusaha ladang ayam terbesar di seluruh negara bagi mengawal kenaikan harga bekalan itu.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata, sebagai permulaan ia dicadang diberikan kepada 20 pengusaha di Johor, Negeri Sembilan dan Perak yang juga pengeluar 80 peratus ayam di pasaran.

"Kita sudah mengadakan pertemuan dengan pengusaha ladang terbabit bagi tujuan itu dan akan mengemukakan cadangan kepada Kementerian Kewangan (MOF) dalam masa terdekat," katanya pada sidang media selepas melawat Pasar Pekan Ajil di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Rosol berkata, kementeriannya percaya pemberian subsidi mampu mengawal paras harga ayam sebagaimana yang dilakukan bagi mengawal harga minyak masak botol.

Menurutnya, purata harga ayam dijual di pasar basah sejak kenaikan dikesan awal September lalu ialah antara RM9 hingga RM10.50 sekilogram (kg).

ROSOL ketika meninjau harga ayam yang mengalami peningkatan mendadak di Pasar Pekan Ajil. FOTO GHAZALIKORI
ROSOL ketika meninjau harga ayam yang mengalami peningkatan mendadak di Pasar Pekan Ajil. FOTO GHAZALIKORI

"Bagaimanapun, laporan yang diterima mendapati harga paling tinggi adalah RM11 sekilogram iaitu di Pasar Gopeng, Perak," katanya yang memberitahu beberapa faktor dikenal pasti sebagai punca kenaikan termasuk harga makanan ayam yang meningkat kerana perlu diimport.

Katanya, Ops Catut (Pasar) 8.0 yang digerakkan sejak Khamis lalu untuk memeriksa semua rantaian pengedaran ayam telah memeriksa 63 premis pengeluar, pemborong dan peruncit di seluruh negara.

"Sebanyak 63 Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) dan 56 Notis Bertulis (NB) dikeluarkan untuk siasatan lanjut jika berlaku unsur pencatutan dalam jualan ayam hidup, ayam standard dan ayam super.

"Kita turut mengeluarkan 12 Surat Pemberitahuan meminta peniaga menyemak semula harga jualan ayam dan menurunkannya," katanya yang memaklumkan tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 14(1) Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 bagi peniaga yang didapati bersalah menaikkan harga.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 September 2021 @ 2:21 PM