Suraya Mohd Ali ketika menerima rawatan di Hospital Tampin.  FOTO AMRAN YAHYA
Suraya Mohd Ali ketika menerima rawatan di Hospital Tampin. FOTO AMRAN YAHYA
Amran Yahya
am@hmetro.com.my

Kuala Pilah: "Saya bukannya pesalah jenayah, sebaliknya hanyalah bekas pesakit Covid-19 yang disahkan pulih sepenuhnya. Mengapa perlu memandang negatif kepada bekas pesakit Covid-19?" kata Suraya Mohd Ali.

Suraya, 39, yang juga kakitangan kerajaan berkata, bukan sahaja dirinya, malah tiga anaknya berumur 15 hingga 18 tahun yang disahkan positif wabak itu turut menerima nasib sama sehingga ada ketikanya menyebabkan gangguan emosi.

Menurutnya, dia mula dijangkiti Covid-19 selepas mendapatkan rawatan susulan berhubung sakit lututnya di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 28 Disember tahun lalu.

"Ketika itu saya ditemani suami dan tiga anak. Bagaimanapun, empat hari selepas itu, saya mengalami demam, batuk dan selesema selain hilang deria rasa serta bau.

"Susulan itu, pada 5 Januari saya ke Klinik Kesihatan Kuala Pilah untuk mendapatkan rawatan dan menjalani ujian Covid-19.

"Pada sebelah petangnya, saya dihubungi dan memaklumkan positif wabak itu," katanya ketika dihubungi di kediamannya di Kuala Pilah.

Suraya berkata, sejurus menerima laporan itu, dia dihantar ke Hospital Tampin manakala suami serta tiga anaknya menjalani kuarantin kendiri di rumah.

Menurutnya, pada 8 Januari, pihak perubatan mengarahkan suami serta tiga anak mereka menjalani ujian Covid-19 dan tiga anaknya disahkan positif manakala suami negatif wabak itu.

Katanya, ketiga-tiganya turut dibawa ke Hospital Tampin untuk rawatan lanjut dan Alhamdulillah, sekarang mereka disahkan pulih daripada Covid-19.

"Masyarakat tidak seharusnya memandang serong kepada ahli keluarga saya disebabkan kami bekas pesakit Covid-19, sebaliknya perlu memberi semangat kepada kami supaya tabah untuk menempuhi hidup di masa akan datang.

"Kini, kami mengambil langkah pencegahan seperti disarankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kami sekeluarga disahkan bebas wabak itu.

"Namun, saya berasa agak kecewa kerana ada segelintir pihak memandang negatif kepada kami (bekas pesakit Covid-19) seolah-olah melakukan jenayah sedangkan kami tidak mahu hal ini terjadi," katanya.

Menurutnya, dia bersyukur dan berterima kasih kepada rakan serta jiran yang tidak putus-putus memberikan sokongan dan kata semangat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Februari 2021 @ 5:02 PM