FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Rencana

Tolong jangan layan kami macam pembawa HIV dan janganlah sisihkan kami daripada anggota masyarakat yang lain." Itu adalah antara rayuan dan rintihan bekas pesakit Covid-19 yang kelihatan sedang berhadapan dilema yang cukup mencabar emosi dan perasaan mereka.

Ironinya, ini satu perkara yang cukup serius dan tidak boleh dibiarkan begitu saja kerana sudah banyak kali kita dengar bekas pesakit wabak ini disisihkan oleh saudara-mara terdekat, rakan dan penduduk sekeliling selain terpaksa berdepan stigma negatif masyarakat.

Malah, pernah dilaporkan berlaku insiden seperti apabila bekas pesakit masuk dalam lif, orang yang ada dalam lif terbabit tiba-tiba keluar. Penulis tertanya-tanya kenapa masih ada anggota masyarakat kita yang berfikiran kolot dan sempit seperti ini? Ingat, tindakan kejam dan zalim seperti ini menyebabkan ada yang mula mengalami trauma, kemurungan dan tekanan emosi yang cukup kuat sehingga patah semangat dan tidak sanggup berdepan dengan dunia luar.

Jelas sekali masih terdapat sekelompok anggota masyarakat yang tidak memahami perasaan serta emosi pesakit yang dijangkiti wabak berbahaya ini. Tindakan kelompok ini yang memandang serong dan menuduh mereka sebagai pembawa wabak atau pencetus kluster dilihat memberi kesan besar dari segi psikologi menyebabkan ada pesakit dan keluarga mengambil masa tiga hingga enam bulan untuk pulih berikutan stigma masyarakat sekeliling yang cuba menyisihkan mereka.

Tindakan masyarakat seperti menularkan identiti mereka yang dijangkiti dan sedang dirawat seperti gambar, nama dan alamat dalam media sosial juga dilihat memberi kesan emosi yang cukup serius kepada pesakit dan keluarga mereka. Jadi, besarlah harapan supaya anggota masyarakat bertindak lebih rasional, matang dan bertanggungjawab. Kita sepatutnya membantu mereka sama ada yang sedang dirawat mahupun sudah disahkan pulih dan bukan menuduh, menyalahkan atau menyisih mereka.

Ironinya, bekas pesakit Covid-19 ini tidak pernah meminta untuk dijangkiti, malah kita perlu ingat betapa ramai daripada mereka sudah cukup 'terseksa' selama ini apabila ada yang kehilangan ahli keluarga terdekat termasuk ibu, bapa, anak, suami dan isteri. Jadi, janganlah kita menambah lagi kesengsaraan mereka.

Antara cara kita boleh membantu meredakan tekanan emosi dan perasaan mereka ialah pertama sekali jangan sebarkan identiti pesakit apatah lagi dengan tuduhan merekalah punca penularan wabak.

Kita sepatutnya menjaga aib dan maruah individu yang sedang sakit dan dirawat. Perlu diingat apabila identiti mereka tular dalam media sosial, tindakan netizen yang mula mengeluarkan pelbagai tuduhan, tohmahan mahupun kata-kata kesat pasti akan mengguris hati dan perasaan pesakit dan keluarga mereka. Jadi, ingatlah ini bukan maklumat yang perlu disebar atau dikongsi dengan orang lain.

Anggota masyarakat juga perlu buang jauh-jauh persepsi negatif mereka terhadap pesakit wabak ini. Bekas pesakit, misalnya bila keluar dari pusat kuarantin sudah disahkan oleh pakar bahawa bebas dan pulih daripada Covid-19 dan anggota masyarakat tidak perlu takut lagi untuk mendekati mereka apatah lagi menyisihkan. Ingat, bekas pesakit ini sudah melalui fasa yang cukup sukar apabila terpaksa berjauhan dari ahli keluarga serta duduk di hospital untuk suatu tempoh masa yang panjang.

Oleh itu, terimalah mereka dengan seadanya sama seperti biasa.

Kelompok bekas pesakit ini juga sangat memerlukan sokongan moral dari segenap lapisan anggota masyarakat untuk memulihkan emosi dan kembali meneruskan kehidupan normal dengan penuh semangat. Inilah masanya untuk rakan dan penduduk sekitar memainkan peranan dengan membantu mewujudkan persekitaran serta perasaan bahawa semua pihak mengambil berat terhadap mereka dengan menghulurkan apa jua bantuan diperlukan.

Kita juga wajar membantu ahli keluarga pesakit yang sedang dirawat terutama dari segi kebajikan dan keselamatan mereka. Misalnya, ada kes bapa atau ketua keluarga dijangkiti wabak dan terpaksa dirawat di hospital untuk tempoh yang lama. Bayangkan apa nasib keluarga pesakit ini jika isterinya tidak bekerja dan mempunyai anak yang masih kecil. Jadi, inilah masanya jiran dan pemimpin masyarakat memainkan peranan dengan menyediakan bantuan kebajikan yang diperlukan oleh keluarga seperti ini.

Dalam pada itu, kita juga berharap pihak kerajaan akan terus menyediakan bantuan kaunseling kepada pesakit, bekas pesakit dan juga ahli keluarga mereka supaya tidak mudah patah semangat mahupun tertekan. Bantulah mereka untuk menguruskan emosi dan tekanan dengan tenang dan bijak.

Ini penting kerana sebagai ahli psikologi yang profesional, kaunselor boleh memainkan peranan yang cukup signifikan terutama dari segi memulihkan semangat dan daya tahan mereka.

Sedarlah bahawa tiada siapa yang minta diri mereka dijangkiti wabak yang bahaya ini. Sebagai anggota masyarakat yang prihatin dan bertanggungjawab, bantulah pesakit, bekas pesakit dan ahli keluarga mereka sebaik yang mungkin mengikut kemampuan kita. Jangan sesekali mencerca mahupun menyisihkan mereka.

Penulis pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Jun 2021 @ 7:00 AM