ALIF bersama dengan jurawat yang menjaganya di Hospital Melaka. FOTO IG ALIF SATAR
ALIF bersama dengan jurawat yang menjaganya di Hospital Melaka. FOTO IG ALIF SATAR
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Penyanyi dan pelakon popular, Alif Satar disahkan bebas Covid-19 dan dibenarkan keluar Hospital Melaka, kelmarin.

Alif berkata, selepas 12 hari dikuarantin dan menjalani rawatan di hospital itu, dia kembali sihat dan sudah bersama isteri, anak-anak dan keluarganya.

"Alhamdulillah, syukur ke hadrat Illahi atas segala nikmat, rezeki, kesihatan dan kebahagiaan yang dikurniakan. 

"Saya ucapkan terima kasih dan penghargaan buat semua pihak terutama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), produksi Muzik Muzik TV3, JS Pictures dan semua rakan industri yang prihatin atas segala yang berlaku dan bertindak pantas, mengambil tanggungjawab mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan mengambil ujian saringan sejurus selepas saya disahkan positif Covid-19.

"Sesungguhnya, rasa syukur yang tidak putus-putus saya lafazkan buat Allah SWT apabila dimaklumkan bahawa semua yang terbabit di set penggambaran, rakan-rakan artis dan kru produksi Muzik Muzik 35 negatif dan bebas Covid-19," katanya.

Alif berkata, apa yang berlaku ada hikmah dan dia terharu menerima banyak mesej yang memberikan kata-kata semangat buat dirinya.

"Saya pasti ada hikmah atas apa yang berlaku. Saya cukup terharu apabila menerima banyak titipan doa, mesej kata-kata semangat daripada seluruh rakyat Malaysia. 

"Keluarga saya yang turut terkesan menerima sokongan daripada ahli keluarga, rakan-rakan malah komuniti jiran tetangga saya turut membantu tidak kira dari sokongan moral dan tenaga bagi meringankan bebanan dan kerisauan yang harus kami lalui," katanya.

Dalam masa sama, Alif berpesan supaya tidak mengasing dan memandang serong terhadap pesakit Covid-19.

"Di sini, ada sesuatu yang serius saya ingin tekankan. Saya menyeru  seluruh rakyat Malaysia menghidupkan cogan kata Kita Jaga Kita dengan sepenuh jiwa bukan sahaja bagi membendung wabak ini, tetapi melalui kerjasama komuniti dalam melawan Covid 19. 

"Maka, hentikanlah stigma negatif, memulau, mengasingkan dan memandang serong mereka yang terkesan dengan wabak ini. Tiada siapa yang minta untuk dijangkiti. Budaya negatif ini bukanlah ciri-ciri yang baik sebagai rakyat Malaysia terutama sekali buat kita yang beragama Islam, agama yang menitik beratkan sifat kasih dan sayang bukan sahaja menjaga hubungan dengan Allah tetapi juga sesama manusia. Berkasihanilah sesama manusia. Layan mereka sebagaimana anda ingin dilayan," katanya.

Alif berkata, selepas berjauhan dengan isteri dan anak-anak, dia yakin ramai yang tahu dan dapat rasakan betapa berat perasaan rindunya. Dia mengambil beberapa hari untuk meluangkan masa bersama seluruh ahli keluarga sebelum kembali bekerja seperti biasa. 

"Saya menyeru semua untuk menjaga kesihatan sekeluarga di samping mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan supaya kita dapat menewaskan wabak ini bersama-sama. Sama-sama kita doakan semua pesakit Covid-19 yang masih dirawat di hospital ataupun yang menjalani kuarantin di rumah cepat sembuh dan boleh balik ke rumah masing-masing untuk bersama keluarga," katanya.

Alif turut mengucapkan terima kasih buat semua barisan hadapan Malaysia terutama di Hospital Melaka, Hospital Sungai Buloh, saudara-mara, sahabat-sahabat dan rakan wartawan yang selalu menelefon bertanya khabar dan berdoa.

Alif disahkan positif Covid-19 pada 22 November lalu.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2020 @ 12:59 PM