GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hadzlihady Hassan


TERMAKAN pujuk rayu dan ayat manis lelaki didakwa ‘doktor’, wanita warga emas kerugian RM8,350 selepas ditipu sindiket Love Scam semalam.

Mangsa yang berusia 70 tahun itu, ditipu sindiket terbabit kononnya mahu mengirim bungkusan berisi barang berharga kepadanya selain mendakwa turut menghantar wang tunai dalam jumlah besar untuk dilabur di Malaysia.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa pada mulanya berkenalan dengan lelaki yang mendakwa bekerja sebagai doktor di Amerika Syarikat.

Menurutnya, mangsa dan suspek berkenalan di laman sembang TWOO Ogos lalu dan lelaki itu memberitahu dia mahu menghantar bungkusan serta wang tunai kepada wanita terbabit.

“Mangsa kemudian dihubungi ejen syarikat kurier yang memberitahu bungkusan terbabit sudah tiba dan berada di sebuah syarikat penghantaran di Kuala Lumpur.

“Bagaimanapun, mangsa diminta membuat bayaran proses untuk mengeluarkan bungkusan itu kononnya kerana ia membabitkan wang banyak,” katanya.

Noorzainy berkata, mangsa yang terlalu percayakan kenalannya itu hanya mengikut arahan dan dia kemudian melakukan lapan transaksi ke tiga akaun berbeza berjumlah RM8,350 dalam tempoh tiga minggu untuk pelepasan bungkusan yang bakal diterimanya itu.

“Mangsa hanya sedar dia ditipu selepas menceritakan kejadian itu kepada rakannya dan dia membuat laporan polis semalam.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan orang ramai dinasihatkan lebih berwaspada dengan taktik sindiket penipuan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Oktober 2019 @ 1:20 AM