GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nur Izzati Mohamad
am@hmetro.com.my


TERJERAT dengan kata-kata manis seorang lelaki tempatan kononnya berada di London memerangkap seorang ibu tunggal di Kepala Batas, apabila dia kerugian RM40,450 akibat ditipu sindiket Love Scam.

Mangsa berusia 57 tahun yang juga pesara sebuah syarikat mengenali lelaki berkenaan melalui Facebook sejak awal Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara , Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, selepas dua bulan berkenalan lelaki itu meminta mangsa membuka akaun bank untuknya bagi memudahkan urusan perniagaannya di negara ini.

"Kerana terlalu percaya mangsa menuruti apa yang dikehendaki lelaki itu lalu membuka akaun bank dan menghantar kad pengeluaran wang automatik (ATM) kepada lelaki terbabit.

"Lelaki itu juga turut memberitahu mangsa dia akan menghantar hadiah hari lahir antaranya beg tangan, telefon bimbit dan wang tunai dalam nilai AS$," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noorzainy berkata, mangsa kemudian menerima panggilan daripada ejen syarikat kurier yang memintanya membuat pembayaran ke dalam akaun bank yang diberikan untuk mengambil hadiah berkenaan.

"Mangsa yang tidak menyedari taktik penipuan itu membuat empat kali bayaran berjumlah RM 40,450.00 menggunakan wang simpanannya.

"Ejen itu kemudian meminta mangsa membuat bayaran tambahan, namun dia mula curiga dan membuat semakan dengan pihak polis sebelum menyedari tertipu," katanya.

Katanya, mangsa membuat laporan polis semalam, dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Orang awam dinasihatkan supaya tidak mudah percaya dengan kata-kata dan janji manis dari individu yang baru dikenali di laman sosial," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Julai 2020 @ 2:37 PM