Nur Izzati Mohamad


AKIBAT tertarik dengan tawaran iklan dimuatnaik dalam laman sosial, seorang pekerja kilang kerugian RM40,906 apabila ditipu sindiket pinjaman wang tidak wujud.

Mangsa iaitu wanita berusia 53 tahun melayari Facebook (FB) beberapa hari lalu dan berminat untuk meminjam RM50,000 selepas melihat iklan dipaparkan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa menghubungi ejen yang menguruskan pinjaman terbabit dan dia diminta membuat sejumlah bayaran sebagai kos perkhidmatan untuk mendapatkan wang terbabit.

"Tanpa rasa curiga, dia memasukkan RM40,906 ke dalam lima akaun diberikan.

"Kemudian ejen terbabit meminta mangsa membuat bayaran tambahan hingga dia sedar dirinya sudah terjebak dengan sindiket penipuan," katanya dalam kenyataan di Butterworth, hari ini.

Noorzainy berkata, mangsa membuat laporan polis semalam selepas dia yakin sudah ditipu dan meminta siasatan dijalankan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, seorang lelaki berusia 38 tahun kerugian RM8,000 akibat ditipu sindiket Macau Scam.

Menurutnya, mangsa yang bekerja kilang turut membuat laporan polis semalam selepas melihat wang dalam akaun simpanannya lesap.

"Mangsa mendapat panggilan telefon mengatakan dia mempunyai satu kes perlu dibicarakan di Mahkamah Labuan.

"Kemudian mangsa diminta menyerahkan maklumat perbankan atas taliannya termasuk nombor TAC untuk siasatan lanjut hingga dia sedar wang simpanannya tiada.

"Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan orang ramai dinasihatkan berhati-hati kerana penipuan seperti ini kerap berlaku," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2020 @ 2:18 PM