RAZMAN menerima kertas kerja permohonan bina kandang dan celung disampaikan Bendahari Padang Ragut (Wanita) Kg Chepor, Lenggong, Norzihan Saidin di padang ragut terbabit petang semalam. FOTO Mohd Rashidi Yusuf
RAZMAN menerima kertas kerja permohonan bina kandang dan celung disampaikan Bendahari Padang Ragut (Wanita) Kg Chepor, Lenggong, Norzihan Saidin di padang ragut terbabit petang semalam. FOTO Mohd Rashidi Yusuf
Mohd Rashidi Yusuf.

Lenggong: Padang ragut pertama diusahakan 13 wanita secara berkelompok di Kampung Chepor dekat sini, perlukan peruntukan untuk membina kandang serta celung bagi memudahkan usaha menangkap ternakan hendak dijual.

Pengerusinya, Azuana Hashim, berkata persatuan mereka memerlukan sebuah kandang serta celung baru bagi menggantikan kandang lama yang telah rosak.

Katanya, bagi memudahkan kerja menangkap lembu yang berada di dalam padok besar, mereka memerlukan kandang kecil manakala kandang sedia ada yang sudah rosak itu tidak lagi boleh digunakan.

"Pembinaan kandang baru memerlukan perbelanjaan dianggarkan lebih RM30,000 dan bagi sebuah padang ragut baru, kami tidak mampu menyediakannya berikutan kedudukan kewangan belum kukuh.

"Kami adalah persatuan yang mengusahakan ternakan lembu secara berkelompok di bawah seliaan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak dan satu-satunya di negara ini yang diusahakan wanita.

"Memandangkan hanya tenaga wanita sahaja, sudah tentu kami memerlukan beberapa kemudahan lebih baik bagi memudahkan kerja kami terutama untuk menangkap ternakan hendak dijual," katanya selepas menerima lawatan Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Razman Zakaria, petang semalam.

Azuana berkata, mereka memohon peruntukan sebanyak RM36,000 termasuk kos RM6,000 untuk menyelenggarakan kawasan seluas lapan hektar itu.

Menurutnya, padang ragut itu mula dibuka pada 2014 dengan modal RM600 setiap seorang ahli bermula dengan enam lembu dan sekarang persatuan memiliki 35 lembu.

Sementara itu, Razman berkata, permohonan persatuan padang ragut itu akan dipanjangkan ke peringkat atasan dan akan diberi keutamaan.

Beliau berkata, walaupun diusahakan wanita, padang ragut itu ada potensi membangun lebih maju dan ahlinya memiliki kesungguhan untuk mengusahakannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 January 2021 @ 2:45 PM