Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Tiga pekerja di kandang ternakan di Lorong Kulit di sini, berdepan detik cemas selepas sebahagian kandang yang memuatkan kira-kira 50 ekor lembu dinaiki banjir kilat, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, kandang lembu berkenaan dinaiki air sedalam 0.7 meter selepas hujan berterusan selama hampir dua jam.

Pekerja kandang, Mohd Aris Ismail, 29, berkata, ketika memeriksa kandang, dia terkejut apabila melihat air sudah menenggelamkan sebahagian kaki lembu di kandang berkenaan.

Dia kemudian menghubungi majikannya sebelum memanggil dua lagi rakan sekerja bagi bersiap sedia sekiranya paras air semakin meningkat.

"Kami hanya ambil langkah awal dengan memeriksa keadaan ternakan selain memantau paras air di sepanjang 50 meter kawasan kandang berhampiran tebing sungai.

"Jika keadaan bertambah buruk, kesemua lembu terbabit perlu dipindah ke tempat tinggi. Majikan berada di luar negara atas urusan kerja," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Pekerja kandang di Lorong Kulit, membersihkan lumpur di sebahagian kawasan kandang yang menempatkan kira-kira 50 ekor lembu selepas kejadian banjir kilat. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Pekerja kandang di Lorong Kulit, membersihkan lumpur di sebahagian kawasan kandang yang menempatkan kira-kira 50 ekor lembu selepas kejadian banjir kilat. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI

Mengulas lanjut Mohd Aris berkata, dia yang sudah lima tahun bekerja di situ mendakwa biasanya kandang terbabit akan dilimpahi air jika hujan lebat berterusan.

Namun hanya sekali iaitu kejadian banjir kilat pada 2018, menyebabkan seekor anak lembu mati.

Katanya, kandang berkenaan menempatkan kira-kira 130 lembu dan masing-masing lebih 30 kerbau dan kambing bagi jualan di pasaran beberapa negeri.

"Hanya kira-kira 50 ekor lembu yang terbabit kerana sebahagian kandang itu terletak berhampiran sungai.

"Mujurlah hujan berhenti serta air mulai surut kira-kira jam 11 pagi dan kami kemudian melakukan kerja pembersihan kandang yang dipenuhi lumpur.

"Walaupun kesemua lembu selamat, namun kami perlu berwaspada dan berjaga-jaga sekiranya berlaku lagi hujan lebat berterusan," katanya lagi.

Tinjauan mendapati, beberapa rumah berhampiran tebing sungai di Lorong Kulit dan Jalan Lilitan Stadium, di sini, turut dinaiki banjir kilat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Jun 2023 @ 4:47 PM