NORSALASATI bersama pelbagai haiwan ternakannya.
NORSALASATI bersama pelbagai haiwan ternakannya.
Noor Hidayah Tanzizi

Bentong: Keakraban suri rumah ini dengan lebih 20 ekor kerbau, lembu dan kambing peliharaannya mencuri perhatian netizen apabila haiwan itu bukan saja manja, malah turut mendengar arahan wanita berkenaan.

Beberapa video dikongsi Norsalasati Said, 52, mendapat perhatian di TikTok kerana haiwan ternakannya seolah-olah memahami setiap gerak geri ibu tiga anak itu, malah berlari ke arahnya setiap kali dipanggil.

Berkongsi cerita, Norsalasati berkata, haiwan ternakan diuruskannya sendiri di padang ragut Kampung Lebu di sini dengan dibantu suaminya, Zamri Salim, 55, bersama anak serta menantu sejak lima tahun lalu.

Menurutnya, beberapa haiwan ternakan itu ada nama seperti Lengkong, Abu, Akob, Sifu, Tonga dan Putih, manakala selebihnya dipanggil Abau merujuk kepada kerbau, Mbek untuk kambing dan Mboo untuk lembu.

"Saya bermula dengan dua (kerbau) saja, selepas itu haiwan itu membiak dan sekarang ada lebih 20 haiwan termasuk ayam. Semua haiwan ternakan manja dan jinak kerana saya suka berbual serta memanjakannya.


"Setiap pagi dan petang selepas solat Asar saya akan ke padang ragut urus haiwan ternakan. Ternakan dilepaskan di sekitar padang ragut saja dan apabila tiba waktu masuk kandang, saya cuma jerit dan semua akan balik.

"Setakat ini semua haiwan itu menurut kata," katanya.

Katanya, menternak haiwan mengajarnya erti kesabaran tinggi kerana ia mempunyai perangai atau karenah, malah kadang-kadang suka merajuk namun setakat ini dia tidak pernah berhadapan situasi ternakannya 'naik minyak'.

"Yang paling manja kerbau bernama Lengkong, kalau saya layan lembu ia akan mendengus seolah-olah merajuk dan kalau saya layan kerbau, lembu pula datang tolak-tolak manja, tetapi setakat ini ternakan saya tidak pernah 'berkasar'. Saya sayang semuanya dan anggap kawan healing petang-petang, malah kalau tak pergi sehari rasa seperti tak tenang hati ini," katanya.

Menurut Norsalasati, pada usia sekarang, dia tidak menganggap usahanya menternak haiwan sebagai 'kerja gila' kerana aktiviti itu menenangkan jiwa di kala meniti usia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Julai 2023 @ 6:31 AM