Hampir 20 program berkaitan pembasmian kemiskinan yang dilaksanakan oleh kementeriannya sebelum ini. FOTO NSTP
Hampir 20 program berkaitan pembasmian kemiskinan yang dilaksanakan oleh kementeriannya sebelum ini. FOTO NSTP
Oleh Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Menyelesaikan semua projek yang dirancang serta membasmi kemiskinan penduduk luar bandar antara aspek yang difokuskan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) pada tahun ini.

Menterinya, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berharap, 539 projek infrastruktur yang sudah dirancang untuk 2021 dapat dilaksanakan mengikut jadual walaupun negara kini berhadapan dengan kekangan dan cabaran berikutan pandemik Covid-19.

Menurut beliau, dengan adanya infrastruktur yang lengkap, ia akan menjadi pemangkin kepada kemajuan di sesebuah kawasan luar bandar termasuk daripada segi ekonomi dan modal insan.

"Ini termasuk projek sambungan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) yang perlu diberi keutamaan, disegerakan dan dipantau rapi pelaksanaannya bagi memastikan projek berkaitan dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan.

"Fokus kedua adalah untuk membasmi kemiskinan dan meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar. Kita sedia maklum, Paras Garis Kemiskinan sudah dipinda daripada RM960 kepada RM2,208 pada 2019.

"Ia menyebabkan bilangan isi rumah miskin di luar bandar meningkat daripada 78,187 isi rumah pada April lalu kepada 182,116 isi rumah. Bilangan ini dijangka akan meningkat berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyukarkan rakyat untuk keluar bekerja," katanya ketika menyampaikan Amanat Tahun Baharu KPLB yang disiarkan secara langsung di Facebook di sini, hari ini.

Abd Latiff berkata, terdapat hampir 20 program berkaitan pembasmian kemiskinan yang dilaksanakan oleh kementeriannya sebelum ini, namun ia perlu diselaraskan semula bagi mengelakkan pertindihan.

"Selain itu, analisa data kemiskinan dan program lebih bersasar perlu dilaksanakan untuk memberi impak positif kepada golongan miskin dan miskin tegar di luar bandar.

"Tumpuan juga perlu diberikan bagi meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar antaranya dengan mempelopori sumber ekonomi baharu. Ia tidak seharusnya diberikan kepada komoditi seperti sawit dan getah tetapi juga tanaman-tanaman kontan yang lain.

"Dalam hal ini, KPLB boleh bekerjasama dengan agensi lain seperti Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Jabatan Pertanian Malaysia untuk mendapatkan maklumat mengenai tanaman-tanaman baharu yang boleh diusahakan," katanya.

Tambah Abd Latiff, kementeriannya juga akan memperkenal strategi baharu untuk aktiviti pelancongan desa dan eko pelancongan yang terkesan teruk berikutan Covid-19.

"Ini kerana, aktiviti pelancongan desa dan eko pelancongan mempunyai kesan limpahan ekonomi dan mampu meningkatkan pendapatan serta taraf hidup masyarakat luar bandar.

"KPLB juga akan memperkukuh sistem rantaian bekalan dan pemasaran produk usahawan luar bandar yang boleh dilaksanakan menerusi Desamall @ KPLB yang mana KPLB dan usahawan luar bandar boleh mengambil peluang semasa PKP ini untuk meningkatkan jualan atas talian," katanya.

Abd Latiff berkata, kesemua projek dan program yang dirancang itu perlu dilaksanakan berlandaskan konsep 'do it right at the first time' bagi memastikan keberkesanan serta memenuhi jangkaan kumpulan sasar.

"KPLB juga perlu melihat elemen mesra alam, tenaga, kecekapan dan inovasi dalam pelaksanaan projek di luar bandar sesuai dengan perkembangan dunia yang menekankan penjagaan alam sekitar.

"Saya juga menyeru supaya program pembangunan modal insan khususnya untuk memperkasa komuniti luar bandar dapat dilaksanakan," katanya.

Menurut beliau, ia bagi memastikan pembangunan luar bandar dapat dilaksanakan secara berterusan serta mewujudkan masyarakat yang lebih berdikari dan mengurangkan kebergantungan kepada bantuan kerajaan semata-mata.

"Ini termasuk daripada segi perubahan mentaliti dan mewujudkan kesedaran dalam kalangan komuniti mengenai sifat kepunyaan terhadap bantuan yang sudah diberikan," katanya.

Menurut Abd Latif, dengan perkembangan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) yang semakin berkembang, masyarakat luar bandar khususnya belia perlu diberi latihan sesuai bagi memenuhi keperluan pekerjaan yang berkonsepkan revolusi berkenaan.

"Dalam hal ini, institusi pengajian TVET @ KPLB perlu menyediakan tenaga pengajar dan modul pembelajaran yang memenuhi keperluan industri.

"Ia juga perlu melaksanakan perkongsian kepakaran dengan industri bagi memastikan kebolehpasaran graduan keluaran institusi berkenaan," katanya.

Selain itu, Abd Latiff juga mahu mengukuhkan integriti dan sistem pentadbiran jabatan di bawah kementeriannya bagi memastikan semua program serta projek yang dilaksanakan memberi manfaat kepada masyarakat luar bandar.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2021 @ 8:59 PM