Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah dengan menahan enam lelaki tempatan serta merampas dadah bernilai lebih RM11 juta, Jumaat lalu.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Yong Lei Choo berkata, pihaknya membuat enam serbuan di Lembah Klang selain di utara dan selatan Semenanjung bermula jam 3.10 petang.

"Dalam serbuan itu, kami menahan enam lelaki tempatan berusia 29 hingga 58 tahun yang dipercayai terbabit dengan kegiatan berkenaan.

"Kami menemui 100.92 kilogram ketamin dan 59.995 kilogram 'base' heroin bernilai RM11 juta yang boleh dibekalkan kepada 636,375 penagih dalam sebuah kenderaan di kawasan parkir kereta di Kuala Lumpur.

Pegawai polis menyusun dadah dan wang tunai yang dirampas pada sidang media di IPD Dang Wangi. FOTO Fathil Asri
Pegawai polis menyusun dadah dan wang tunai yang dirampas pada sidang media di IPD Dang Wangi. FOTO Fathil Asri

"Turut dirampas enam kenderaan pelbagai jenis, 21 barang kemas, dua jam tangan berjenama dan wang tunai berjumlah RM423,829 menjadikan jumlah keseluruhan sitaan RM937,329," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, hari ini.

Lei Choo berkata, siasatan dilakukan mendapati pergerakan pengedaran dadah yang dirancang sindiket berkenaan bermula dari selatan menuju ke utara Semenanjung dipercayai untuk dihantar ke luar negara melalui jalan laut.

"Kami dapati sebuah rumah sewa digunakan sebagai stor transit penyimpanan dadah sejak Oktober tahun lalu.

"Semakan mendapati empat daripada enam suspek mempunyai rekod berkaitan jenayah dan dadah. Hasil ujian saringan awal air kencing dilakukan mendapati dua daripada mereka didapati positif dadah jenis methaphetamin serta ganja," katanya.

Beliau berkata, semua suspek direman selama tujuh hari bermula 16 hingga 22 Januari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Tindakan turut diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dalam kes ini. Kami masih mengesan saki baki sindiket ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2021 @ 1:39 PM