Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis menumpaskan serpihan sindiket pengedaran dadah di Pulau Pinang dengan penahanan suami isteri serta rakan mereka bersama dadah seberat lebih 38 kilogram bernilai RM1.37 juta dalam tiga serbuan di sekitar ibu negara, Jumaat lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman (Risikan dan Operasi) Deputi Komisioner Zainudin Ahmad berkata, pihaknya melakukan serbuan itu bermula jam 2 hingga 5.15 petang.

"Dalam serbuan itu, kami menahan dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 25 hingga 28 tahun yang dipercayai terbabit dengan kegiatan pengedaran dadah.

"Kami merampas 38 kilogram dadah jenis syabu yang diletakkan dalam bungkusan teh cina serta 457 gram dadah jenis heroin yang bernilai RM1.37 juta.

"Selain itu, kami merampas tiga kereta, pelbagai jenis barang kemas serta wang tunai sebanyak RM23,684 dianggarkan berjumlah RM1.48 juta dalam serbuan berkenaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, di sini, hari ini.

Zainudin berkata, berdasarkan maklumat risikan dilakukan, pihaknya mendapati tiga suspek berkenaan adalah serpihan kepada satu sindiket pengedaran dadah di Pulau Pinang yang ditumpaskan pada November tahun lalu.

"Modus operandi sindiket ini adalah mengambil bekalan dadah dari negara jiran sebelum diedarkan kepada pelanggan tetap di sekitar Lembah Klang sejak mereka aktif melakukan kegiatan berkenaan lapan bulan lalu.

"Difahamkan sindiket ini hanya menerima tempahan melalui panggilan telefon serta aplikasi seperti WeChat serta WhatsApp.

"Jumlah dadah yang dirampas dalam serbuan ini boleh dibekalkan kepada 191,523 penagih," katanya.

Beliau berkata, dua suspek lelaki terbabit mempunyai rekod berkaitan kes dadah, manakala hasil ujian saringan air kencing terhadap tiga suspek terbabit didapati negatif dadah.

"Kami juga mengambil tindakan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988 dengan menyita pelbagai aset milik sindiket berkenaan dianggarkan bernilai RM111,834.

"Semua suspek berkenaan direman selama tujuh hari sehingga 5 Mac ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Usaha memburu beberapa lagi individu yang dipercayai terbabit dengan sindiket berkenaan juga sedang giat dijalankan," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM8.14 juta di Sungai Nibong, Bayan Lepas dan Balik Pulau, Pulau Pinang pada 18 November tahun lalu.

ZAINUDDIN (tiga kiri) pada sidang media rampasan dadah bernilai RM1.48juta di IPD Brickfields. FOTO Fathil Asri.
ZAINUDDIN (tiga kiri) pada sidang media rampasan dadah bernilai RM1.48juta di IPD Brickfields. FOTO Fathil Asri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mac 2021 @ 12:59 PM