Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Polis menumpaskan sindiket penipuan Fly by Night yang memperdaya syarikat menjual peralatan komputer, barangan elektrik dan elektronik serta perisian komputer di tiga negeri dengan penahanan tujuh individu termasuk dalang warga Pakistan.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Yong Lei Choo berkata, sindiket berkenaan dikesan aktif memperdaya 12 syarikat di ibu negara, Selangor dan Pulau Pinang dengan membuat bayaran menggunakan cek tertunda (post dated) dalam tempoh dua minggu sebelum mangsa boleh menunaikannya.

Menurutnya, sindiket terbabit dipercayai menjual semua barangan berkenaan pada harga kira-kira 70 peratus lebih rendah daripada pasaran.

Katanya, pihak polis turut merampas pelbagai peralatan komputer, barang elektrik dan elektronik serta penemuan semula barangan dianggarkan bernilai RM500,000 termasuk wang tunai berjumlah RM121,420 dalam beberapa serbuan.

"Secara keseluruhannya polis berjaya menahan tiga lelaki warga Pakistan, seorang lelaki warga India, seorang lelaki tempatan dan dua wanita tempatan berusia 29 hingga 58 tahun bermula 13 Mac lalu.

"Siasatan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1) (c) dan Seksyen 15(1) Akta Imigresen 1959/63," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini.

Menurutnya, sebanyak 14 kertas siasatan dibuka dan pihaknya mendapat arahan pertuduhan ke atas suspek utama iaitu lelaki warga Pakistan di mahkamah, esok.

Katanya, polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan tidak terpedaya dengan sindiket penipuan dengan membuat semakan latar belakang sesebuah syarikat sebelum membuat sebarang urusniaga.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah diminta menghubungi hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999, IPD Dang Wangi di talian 03-26002222 atau mana-mana balai polis berdekatan.

YONG Lei Choo menunjukkan hasil rampasan barangan sendikit penipuan ketika sidang media di IPD Dang Wangi. FOTO Fariz Iswadi Ismail
YONG Lei Choo menunjukkan hasil rampasan barangan sendikit penipuan ketika sidang media di IPD Dang Wangi. FOTO Fariz Iswadi Ismail

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mac 2021 @ 4:00 PM