HOSPITAL Sungai Buloh. FOTO Arkib NSTP
HOSPITAL Sungai Buloh. FOTO Arkib NSTP
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) mengambil berat persekitaran kerja, keperluan asas, penjagaan kesihatan dan keselamatan petugas kesihatan yang bertugas di mana-mana fasiliti kesihatan di negeri ini.

Pengarahnya, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman berkata, ia adalah untuk memastikan semua fasiliti dapat memberikan rawatan yang cekap dan berkualiti kepada pesakit.

"Bagi memastikan keperluan sumber manusia yang mencukupi, JKNS membuat pengagihan tambahan pegawai perubatan, jururawat, penolong pegawai perubatan, pembantu perawatan kesihatan melalui 'redeployment' dalam negeri mahupun dari negeri-negeri lain selain tambahan kakitangan melalui pengambilan pegawai kontrak baharu oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Hospital Sungai Buloh.

"Di Hospital Sungai Buloh serta hospital lain, kakitangan yang bertugas dalam perawatan Covid-19 ini juga diberikan elaun Covid-19 seperti yang dipersetujui oleh kerajaan, elaun lebih masa bagi yang perlu melakukan kerja lebih masa serta elaun-elaun lain atas kelayakan," katanya dalam kenyataan balas terhadap artikel bertajuk 'LETTER: A Tired Doctor From Sg Buloh Asks To Be Treated Humanely' yang disiarkan di dalam satu portal berita pada Sabtu lalu.

Beliau berkata, mengenai pemberian makanan, ia diberikan berdasarkan dalam surat pekeliling KKM yang mana pada ketika ini, semua anggota perubatan yang bertugas secara atas panggilan sudah dibekalkan makanan mengikut surat pekeliling itu.

Katanya, semasa awal penularan wabak Covid-19 ini, terdapat banyak sumbangan makanan yang diterima oleh pihak hospital dari badan-badan sukarela, industri, agensi dan sebagainya untuk semua petugas di Hospital Sungai Buloh.

Bagaimanapun, pada masa ini, sumbangan sudah berkurangan.

"Bagaimanapun bekalan makanan masih boleh didapati daripada kafeteria atau membuat pesanan makanan secara dalam talian," katanya.

Dr Sha'ari turut memaklumkan pegawai perubatan dan lain-lain kategori kakitangan yang ditempatkan di wad Covid-19 bertugas mengikut syif bagi mengurangkan beban kerja dan cuti rehat diberikan secara adil.

"Setiap wad Covid-19 juga mempunyai ruang rehat yang selamat untuk petugas kesihatan berehat, makan dan solat, semua kakitangan juga dibekalkan dengan peralatan perlindungan diri (PPE) yang mencukupi agar tidak berlaku infeksi silang dan peruntukan kewangan serta bekalan adalah mencukupi," katanya.

Selain itu katanya, pihak hospital turut memberikan khidmat bimbingan psikologi untuk sokongan moral dan khidmat nasihat kepada petugas kesihatan yang memerlukan.

"Semua maklum balas daripada anggota kesihatan akan diajukan kepada pihak pengurusan hospital dan seterusnya kepada pihak negeri dan KKM untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Kelmarin, sebuah portal berita menyiarkan surat daripada seorang doktor di Hospital Sungai Buloh membangkitkan isu berkaitan beban yang perlu ditanggung oleh petugas kesihatan di hospital itu serta mendakwa mengalami kekurangan kemudahan asas seperti tiada bilik rehat dan makanan bagi petugas syif atas panggilan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2021 @ 9:58 AM