GAMBAR hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO NSTP
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Seorang doktor yang hamil empat bulan ditemukan mati dalam sebuah bilik di rumahnya, awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa berusia 32 tahun bertugas di sebuah klinik kesihatan kerajaan.

Katanya, satu laporan polis dibuat 8.55 malam pada 5 Jun lalu selepas menerima makluman daripada Hospital Sungai Buloh sebaik menerima panggilan kecemasan dari suami wanita itu yang berusia 32 tahun.

"Mangsa dibawa ke zon merah Hospital Shah Alam oleh suaminya dengan menaiki kereta namun gagal diselamatkan.

"Siasatan lanjut di lokasi kejadian iaitu sebuah rumah teres dua tingkat mendapati tiada sebarang pergelutan dan pemeriksaan awal tubuh badan mangsa juga tiada kecederaan fizikal lain," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes diklasifikaskan sebagai sebagai mati mengejut dan mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Ketua Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam Sarjan Mejar Muhammad Shafawi Yaacob di talian 03-55202222.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) Datuk Dr Sha'ari Ngadiman dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasmi jabatan itu memaklumkan terdapat dua kematian mengejut membabitkan petugas kesihatan di negeri ini.

Katanya, ia adalah situasi yang menyedihkan kepada semua terutamanya ahli keluarga dan pihaknya turut menjalankan siasatan terhadap kes berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Jun 2023 @ 10:02 PM