PENYERAHAN 2,000 PPE dari Lembaga Zakat Selangor (LZS) kepada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor di Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
PENYERAHAN 2,000 PPE dari Lembaga Zakat Selangor (LZS) kepada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor di Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Norzamira Che Noh


LEMBAGA Zakat Selangor (LZS) menyumbang 2,000 set kelengkapan peralatan perlindungan diri (PPE) bernilai RM100,000 kepada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) untuk kegunaan petugas barisan hadapan menangani Covid-19.

Pengerusi Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata, LZS memberi sumbangan itu kerana bimbang kekurangan bekalan PPE pada musim cuti perayaan Aidilfitri hujung minggu ini.

"Kami faham mengenai cuti panjang pada hujung minggu ini dan kekurangan PPE akan menimbulkan kesukaran pada JKNS untuk melaksanakan tugas mereka.

"Untuk set lengkap PPE ini, kami bekerjasama dengan Management & Science University (MSU) apabila kakitangan dan pelajar MSU membantu kami menjahit PPE ini.

"Sehingga kini, LZS memperuntukkan RM800,000 untuk pelbagai bantuan termasuk set PPE serta peralatan kesihatan lain diperlukan sepanjang penularan Covid-19," katanya selepas menyerahkan set lengkap PPE kepada JKNS di Wisma Sunway, Shah Alam, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M Yusop.

Sementara itu, Dr Sha'ari berkata, stok kelengkapan PPE JKNS dijangka mampu bertahan dalam tempoh dua bulan hasil sumbangan pelbagai pihak termasuk LZS.

Beliau berkata, pihaknya akan mengagihkan PPE itu di semua fasiliti kesihatan di Selangor termasuk petugas kesihatan yang melakukan saringan di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Tidak semua petugas kesihatan akan memakai set lengkap PPE sebaliknya ia bergantung pada tugas mereka. Jika mereka ditugaskan untuk membuat saringan atau berjumpa pesakit Covid-19, mereka perlu memakai set lengkap," katanya.

Set kelengkapan PPE itu terdiri perisai muka, sarung tangan, pakaian khas dan sarung penutup kasut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2020 @ 3:55 PM