MANGSA banjir, Sarina Mastur bersama anaknya dari Kampung Kasigui, Penampang dipindahkan ke PPS di Rumah Kelab Kompleks Sukan Penampang di sini, hari ini. FOTO BERNAMA
MANGSA banjir, Sarina Mastur bersama anaknya dari Kampung Kasigui, Penampang dipindahkan ke PPS di Rumah Kelab Kompleks Sukan Penampang di sini, hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Sabah terus mencatatkan peningkatan jumlah mangsa banjir, sementara Pahang dan Sarawak semakin pulih dengan bilangan mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) berkurangan, manakala Johor pulih sepenuhnya daripada bencana itu setakat petang ini.

Di Sabah, jumlah mangsa banjir setakat 4 petang tadi bertambah kepada 348 mangsa daripada 91 keluarga berbanding 176 mangsa membabitkan 43 keluarga pagi tadi, dengan kesemuanya ditempatkan di sembilan PPS.

Menurut kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah, daerah Kota Belud kembali dilanda banjir dengan 34 mangsa dipindahkan ke PPS Dewan Tun Said, manakala Masjid Jamek di Kota Kinabalu menempatkan 62 mangsa dan 39 individu berada di PPS Dewan Likas.

"Tujuh lagi daerah dilanda banjir ialah Pitas dengan 45 mangsa dipindahkan, Beaufort (32 mangsa), Paitan (73), Putatan (25) dan Penampang (38), manakala Tuaran dan Papar tiada mangsa dipindahkan setakat ini.

"Bagaimanapun paras air banjir di Tuaran dan Papar terus meningkat petang ini dengan hujan masih berterusan dan amaran cuaca buruk dikeluarkan sepanjang hari ini.

"Trend pemindahan mangsa banjir dijangka terus meningkat," demikian menurut kenyataan itu.

Di Pahang, banjir di Temerloh dan Bera pulih apabila tiga PPS terakhir di daerah berkenaan ditutup petang ini.

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat melaporkan PPS itu ialah Kolej Komuniti Temerloh yang menempatkan dua mangsa, manakala di Bera membabitkan Sekolah Kebangsaan (SK) Charuk Puting (22 mangsa) dan Masjid Kampung Mengkarak (32 mangsa).

Perkembangan itu menjadikan jumlah mangsa banjir di Pahang setakat 2.30 petang ini ialah seramai 3,107 mangsa daripada 861 keluarga yang masih berada di 34 PPS, dengan Pekan mencatat jumlah tertinggi seramai 2,050 mangsa diikuti Kuantan (715 mangsa) dan Maran (342 mangsa).

Sementara di Sarawak, jumlah mangsa banjir yang berada di PPS terus berkurangan dengan 1,208 mangsa setakat ini berbanding 1,870 mangsa pagi tadi.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam laporan terbaharunya berkata, sebanyak 12 PPS masih beroperasi di tiga bahagian yang dilanda banjir sejak Rabu lalu.

Bahagian Serian merekodkan jumlah tertinggi membabitkan 1,088 mangsa di 10 PPS, diikuti Kuching (113 mangsa di sebuah PPS) dan Miri (7 mangsa di sebuah PPS).

Di Johor, keadaan banjir pulih sepenuhnya selepas operasi dua PPS terakhir, masing-masing di Segamat dan Batu Pahat, ditamatkan pada 2 petang tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor RVidyananthan berkata, kesemua 76 mangsa membabitkan 20 keluarga dari Kampung Seberang Batu Badak, Segamat yang ditempatkan di PPS Sekolah Agama Gemereh dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

"Turut dibenarkan pulang ialah 17 mangsa daripada tiga keluarga dari Kampung Talang Bunut, Parit Raja di Batu Pahat yang ditempatkan di PPS SK Seri Bunut, Parit Raja," katanya dalam kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 January 2021 @ 8:40 PM