Keadaan banjir di Terengganu. FOTO BERNAMA
Keadaan banjir di Terengganu. FOTO BERNAMA
Oleh Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Banjir di daerah Marang pulih apabila semua mangsa yang terjejas dibenarkan pulang secara berperingkat pagi tadi.

Bagaimanapun, Kemaman menjadi daerah terbaharu dilanda banjir dengan pembukaan satu pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah berkenaan.

Setakat jam 12 tengah hari, seramai 58 mangsa daripada 14 keluarga berada di lima PPS di daerah Dungun dan Kemaman.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, Dungun merekodkan jumlah mangsa teramai iaitu seramai 53 mangsa daripada 13 keluarga.

Mereka ditempatkan di empat PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Abang (19 mangsa), Balai Raya Sura Lapangan Terbang (lapan mangsa), Balai Raya Jalan Teratai (lapan mangsa) dan Balai Raya Kampung Pelandang (18 mangsa).

Sementara itu, tiga PPS di Marang yang sebelum ini dibuka bagi menempatkan 31 mangsa daripada sembilan keluarga ditutup secara berperingkat bermula pagi tadi.

Di Kemaman, PPS di Balai Raya Kampung Batu 9, Ibok diaktifkan jam 5 pagi tadi bagi menempatkan lima mangsa daripada satu keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2024 @ 12:33 PM