Suasana jemaah yang hadir menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Azim, Melaka. Kerajaan Negeri Melaka membenarkan pelaksanaan solat Jumaat dengan kehadiran seramai 45 orang jemaah di masjid dan surau yang dibenarkan sempena pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa sehingga 26 Januari depan bagi memutuskan rantaian Covid-19. FOTO IQMAL HAQIM ROSMAN
Suasana jemaah yang hadir menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Azim, Melaka. Kerajaan Negeri Melaka membenarkan pelaksanaan solat Jumaat dengan kehadiran seramai 45 orang jemaah di masjid dan surau yang dibenarkan sempena pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa sehingga 26 Januari depan bagi memutuskan rantaian Covid-19. FOTO IQMAL HAQIM ROSMAN
BERNAMA

Melaka: Solat Jumaat pertama semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di masjid-masjid Melaka hari ini mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Tinjauan Bernama di Masjid Al-Alami di Ayer Keroh mendapati selain mengenakan pelitup muka, jemaah juga menjaga penjarakan fizikal dalam usaha bersama mengekang penularan Covid-19 di negeri berkenaan.

Selain itu, pengurusan masjid turut membekalkan pelitup muka kepada jemaah yang tidak membawanya serta menyediakan buku pendaftaran, imbasan Kod QR bagi pengguna aplikasi MySejahtera dan pengesanan suhu di pintu masuk masjid.

Imam Rawatib Masjid Al-Alami Mazlan Abdullah, 63, berkata, ini adalah solat Jumaat pertama yang dilakukan oleh masjid berkenaan sejak PKP mula dilaksanakan kembali bermula Rabu lalu hingga 26 Januari depan.

"Bagi solat Jumaat hari ini, kita memberi peluang kepada jemaah untuk menunaikan solat berkenaan dengan konsep 'siapa cepat dia dapat'.

"Kita mula membuka kawasan masjid bermula pukul 12.30 tengah hari tadi dan sebaik jemaah mencukupi, kita tidak benarkan lagi jemaah lain untuk masuk," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata pendekatan yang diambil pada PKP kali ini berbeza berbanding jemaah perlu membuat pendaftaran menunaikan solat Jumaat beberapa hari lebih awal sebagaimana yang dilaksanakan ketika PKP pertama pada tahun lepas.

Solat Jumaat pada hari ini turut dipantau oleh wakil Majlis Keselamatan Negara (MKN) Melaka dan polis bagi memastikan pengurusan masjid dan jemaah mematuhi setiap SOP yang ditetapkan, katanya.

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Md Azhan Samat sebelum ini dilaporkan berkata, hanya 45 jemaah dibenarkan menunaikan solat Jumaat di surau dan masjid sepanjang pelaksanaan PKP membabitkan kalangan kariah, pegawai, ahli jawatankuasa serta petugas masjid atau surau terlibat.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 January 2021 @ 6:09 PM