Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Semua kuliah agama sama ada kuliah Subuh, Maghrib dan Dhuha termasuk kelas al-Quran di masjid, surau, dan musalla di seluruh negeri ditangguhkan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kelantan, bermula hari ini sehingga 6 Disember.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) yang juga Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, bagaimanapun, solat Jumaat dan fardu di masjid, surau dan musalla tetap diadakan, namun bilangan jemaah yang dibenarkan menunaikan solat dihadkan bergantung kepada kapasiti dengan penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter.

Katanya, bagi masjid bandar, jajahan, dan mukim, jumlah maksimum jemaah yang dibenarkan menunaikan solat Jumaat dan fardu hanya 50 orang pada setiap waktu dengan penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter.

"Bagi surau, jemaah, jemaah dibenarkan menunaikan solat adalah maksimum 30 orang, manakala bagi musalla, hanya 10 jemaah sahaja tertakluk kepada kapasiti.

"Bagi masjid dan surau yang terletak di dalam kawasan yang disahkan terdapat kluster Covid-19, ia akan ditutup apabila mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Bagaimanapun, masjid dan surau yang terletak di kawasan kluster Mengketil ditutup sehingga kepada suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, perkara itu mendapat perkenan daripada Sultan Muhammad V dan Yang Dipertuan bagi Negeri Kelantan sebagai Ketua Agama Islam sebagaimana peruntukkan Perkara 6 (1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan.

Katanya, pelaksanaan solat Jumaat dan fardu mestilah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuk memastikan hanya pegawai masjid (imam tua, imam muda, bilal, siak), ahli jawatankuasa masjid dan anak-anak mukim terpilih sahaja dibenarkan.

"Selain itu, sediakan senarai dan maklumat jemaah yang terpilih dan mendaftarkan kehadiran di dalam buku pendaftaran selain membuat saringan suhu yang mana jika melebihi 37.4 darjah celcius tidak dibenarkan masuk.

"Ahli jawatankuasa dan anak-anak mukim yang berumur 70 tahun ke atas tidak dibenarkan hadir dan jemaah yang hadir ke masjid perlu memakai pelitup muka serta merekodkan kehadiran di dalam buku kehadiran," katanya.

Katanya, antara lain SOP yang ditetapkan adalah, jemaah yang bergejala seperti batuk, demam, selsema dan sakit tekak adalah tidak dibenarkan hadir.

"Pastikan aliran pengudaraan di dalam ruang solat dengan membuka semua pintu, jendela dan menggunakan kipas angin dan tidak dibenarkan memasang alat penyaman udara.

"Membuat penjarakan sosial satu meter dan menyediakan cecair pembasmi kuman serta mengingatkan jemaah membawa sejadah dan mengambil wuduk di rumah," katanya.

Mohamad Rizam berkata, pintu pagar masjid juga dibuka 20 minit sebelum azan dan imam perlu memastikan solat diselesaikan dalam tempoh 20 minit setelah azan dan pintu pagar ditutup sejurus selepas selesai doa dibacakan dan jemaah bersurai.

"Selain itu, kebenaran pelaksanaan solat fardu Jumaat tertakluk kepada kehadiran sekurang-kurangnya seorang anggota polis di setiap masjid," katanya.

Beliau berkata, SOP hendaklah dipatuhi sepenuhnya oleh pihak pengurusan masjid. Tindakan sewajarnya akan diambil diatas kegagalan untuk mematuhi SOP ini.

"Oleh itu, pihak MAIK amat mengharapkan kerjasama daripada semua pihak dalam melaksanakan ketetapan ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2020 @ 8:26 AM