FOTO Facebook Istana Negara
FOTO Facebook Istana Negara
Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Prihatin dengan mangsa banjir, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menggunakan bot Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk meninjau situasi banjir di Kampung Temai, Pekan, Pahang hari ini.

Malah, baginda berdua turut berkenan melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Temai dan meluangkan masa menyantuni mangsa banjir yang ditempatkan di PPS berkenaan.

Istana Negara dalam satu kenyataan di Facebook rasmi memaklumkan, dalam lawatan itu, Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada mangsa banjir bagi meringankan beban yang ditanggung akibat bencana banjir.

FOTO Facebook Istana Negara
FOTO Facebook Istana Negara

"Seri Paduka Baginda berdua dijadualkan meneruskan lawatan ke beberapa kampung sekitar Pekan, Pahang yang dilanda bencana banjir.

"Turut mengiring, anakanda Seri Paduka Baginda berdua, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah, Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu'adzam Shah dan Tengku Puteri Jihan Azizah 'Athiyatullah," katanya.

Menurutnya, keberangkatan Seri Paduka Baginda berdua ini mencerminkan keperibadian dan keprihatinan tinggi baginda terhadap mangsa banjir yang memerlukan bantuan.

"Seri Paduka Baginda berdua mengajak seluruh rakyat untuk bersama mendoakan supaya bencana banjir yang melanda beberapa negeri pada ketika ini tidak berpanjangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2021 @ 2:47 PM