GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Noor Atiqah Sulaiman

Putrajaya: Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) berharap kerajaan memberikan perhatian khusus kepada golongan belia yang terjejas serta masalah pengangguran yang semakin meningkat di negara ini susulan pandemik Covid-19.

Presidennya, Mohd Alif Anas Nd Noor berkata, kerajaan perlu memberi perhatian terhadap isu berkenaan termasuk ketika tempoh Proklamasi Darurat diumumkan sehingga Ogos hadapan.

Katanya, GPMS menjunjung kasih atas perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terhadap pengisytiharan berkenaan bagi membendung penularan Covid-19 dalam negara ini.

"Bagaimanapun, GPMS ingin menzahirkan harapan kami mewakili golongan belia dalam menghadapi tempoh sukar ini. GPMS berharap, kerajaan dapat memastikan kebajikan rakyat terutama golongan belia terbela dan tidak terkesan teruk dari pelaksanaan darurat ini.

"Bantuan sosial seperti yang diperuntukkan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0, mestilah diteruskan dengan mengambil kira keperluan semasa golongan belia.

"Selain itu, kerajaan juga diharap memberi perhatian khusus kepada masalah pengangguran yang semakin meningkat semenjak pandemik ini melanda negara. Ia supaya negara tidak terbeban dengan peningkatan masalah sosial yang memberi impak negatif kepada kehidupan rakyat," katanya tadi.

Mohd Alif berkata, dalam masa sama kerajaan juga diharap dapat meneruskan inisiatif pemerkasaan ekonomi yang dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada graduan institusi pengajian tinggi dan institusi teknikal supaya mereka tidak terbeban dengan masalah pengangguran.

"Kerajaan juga diharap tidak meminggirkan golongan belia yang menjalankan perniagaan sendiri dan terjejas akibat pelaksanaan PKP serta perintah darurat.

"Ramai dalam kalangan belia yang berniaga menyatakan keresahan mereka menghadapi PKP sekali lagi di mana pendapatan mereka terjejas teruk kerana aktiviti perniagaan terpaksa ditutup dalam tempoh berkenaan serta perlu beroperasi secara terhad.

"GPMS memohon kerajaan mempertimbangkan pemberian bantuan perniagaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) seperti Geran Khas Prihatin seperti yang diperuntukkan sebelum ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2021 @ 8:24 PM