Sebuah kedai komputer di Wangsa Maju dipenuhi Ibu bapa yang mencari komputer riba untuk kegunaan anak untuk belajar sesi PdPR berikutan pendemik Covid-19 yang semakin meningkat dan negeri yang terlibat dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak membenarkan sekolah dibuka bagi tahun 2021 dan murid akan diajar melalui sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sehingga keadaan semakin baik. FOTO FATHIL ASRI
Sebuah kedai komputer di Wangsa Maju dipenuhi Ibu bapa yang mencari komputer riba untuk kegunaan anak untuk belajar sesi PdPR berikutan pendemik Covid-19 yang semakin meningkat dan negeri yang terlibat dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak membenarkan sekolah dibuka bagi tahun 2021 dan murid akan diajar melalui sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sehingga keadaan semakin baik. FOTO FATHIL ASRI
Adnan Ibrahim


Kluang: Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Negeri Johor mencadangkan kerajaan melakukan penjajaran semula peruntukan dengan mengutamakan pemberian peranti selain memperkasakan peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi mengelakkan berlakunya kesenjangan pendidikan.

Pengerusinya, Mohd Tarmizi A.Razak berkata, proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) ketika ini menyaksikan pelbagai pihak tampil dengan pandangan dan kritikan, lebih-lebih lagi apabila mengambil kira kesan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan darurat yang dijangka berpanjangan.

Katanya, idea seperti memperkasakan TV Pendidikan dan menyegerakan pembinaan infrastruktur asas seperti capaian Internet berkelajuan tinggi, pemberian peranti elektronik serta bantuan kewangan kepada keluarga dan pelajar dari golongan B40 adalah antara cadangan yang sering diutarakan.

"Kami berpendapat cadangan-cadangan ini adalah baik dan wajar dipertimbangkan secara serius oleh pihak berkepentingan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).

"Walaupun ia mengambil akan masa untuk mengenal pasti pelajar yang benar-benar layak, kekangan dasar dan polisi serta sumber kewangan yang terhad," katanya kepada NSTP hari ini.

Menurut Mohd Tarmizi, pihaknya turut berpandangan bahawa peranan PIBG perlu lebih proaktif dalam memastikan proses PdPR dapat dijalankan serta memberi impak yang lebih baik dengan mengenal pasti pelajar dan keluarga yang mempunyai masalah bagi mengikuti kaedah pembelajaran itu dengan berkesan.

"Melihat kepada cadangan penyediaan peranti elektronik secara serius oleh kerajaan, kami melihat beberapa peruntukan yang pada awalnya dikhususkan kepada KPM dan kemudiannya tidak digunakan rentetan PKP seharusnya disusun semula untuk pemberian peranti elektronik kepada golongan pelajar yang layak.

"Contoh yang jelas adalah peruntukan untuk Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan Bantuan Makanan Asrama (BMA), selepas meneliti anggaran perbelanjaan yang diperuntukkan pada 2020 dan 2021 mendapati dua program di bawah Maksud Bekalan 63-KPM itu mempunyai ruang penjajaran semula yang besar," katanya.

Menurutnya, meskipun sedar bahawa kerajaan sudah membuat penjajaran semula peruntukan demi menampung pelan bantuan kepada rakyat seperti PENJANA dan PERMAI, pihaknya menyeru untuk menarik perhatian agar keutamaan diberikan dalam menyusun semula peruntukan KPM ke arah pemberian peranti yang boleh digunakan bagi tujuan PdPR.

"Perkara ini dibangkitkan atas dasar tanggungjawab dan kegusaran terhadap situasi yang memungkinkan wujud pelajar yang akan tercicir kerana kepayahan hidup khususnya anak-anak Melayu seterusnya menimbulkan kesenjangan pendidikan dalam kalangan golongan kaya dan miskin.

"Oleh itu, kami menuntut perkara ini diambil perhatian dan tindakan yang sewajarnya dan sekiranya ada peruntukan KPM yang boleh disusun semula bersama Kementerian Kewangan Malaysia.

"Kami juga memohon ia digunakan bagi penyediaan peranti elektronik kepada para pelajar yang layak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 January 2021 @ 4:49 PM