GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kota Kinabalu: Seramai 1,765 penduduk daripada 567 keluarga di empat daerah di Sabah kini ditempatkan di 10 pusat pemindahan sementara (PPS) susulan banjir akibat hujan lebat berterusan sejak Ahad lalu.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan setakat 4 petang hari ini, 976 mangsa daripada 300 keluarga di Kudat berpindah ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tun Dato Hj Mustapha, SK Sikuati dan Rumah Rehat Lama Karakit yang dibuka sejak semalam.

Bilangan mangsa di PPS SK Tun Dato Hj Mustapha dan Rumah Rehat Lama Karakit pula kekal dengan masing-masing seramai 90 orang daripada 14 keluarga dan 15 orang daripada tiga keluarga manakala PPS SK Sikuati menempatkan 871 orang daripada 283 keluarga.

Di Kota Marudu, jumlah mangsa banjir di daerah itu kekal 710 orang daripada 246 keluarga yang ditempatkan di PPS Dewan Kampung Asin-Asin; SK Taritipan; SK Advent Damai dan Sekolah Menengah Kebangsaan Tandek.

Jumlah mangsa banjir di PPS Dewan Kampung Kusilad dan SK Pekan II di Daerah Pitas kini adalah masing-masing 36 mangsa daripada sembilan keluarga dan 19 orang daripada tiga keluarga.

Sekretariat turut memaklumkan satu PPS dibuka di Beaufort iaitu Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir membabitkan seramai 24 mangsa daripada sembilan keluarga.

Setakat ini, lima daerah di Sabah iaitu Kudat, Kota Marudu, Pitas, Tongod dan Beaufort melibatkan 90 kampung terjejas banjir, namun belum ada mangsa banjir dipindahkan di Tongod.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2021 @ 8:21 PM