ANGGOTA keselamatan memindahkan penduduk terjejas banjir di beberapa kampung sekitar daerah Kota Marudu. FOTO ihsan APM
ANGGOTA keselamatan memindahkan penduduk terjejas banjir di beberapa kampung sekitar daerah Kota Marudu. FOTO ihsan APM
Yun Mikail


Kota Kinabalu: Jumlah mangsa banjir di daerah Kudat, Kota Marudu dan Pitasmeningkat kepada 1,680 orang daripada 507 keluarga, pagi ini, berbanding 746 orang daripada 225 keluarga semalam.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah berkata, sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) sudah dibuka di semua daerah terjejas.

Menurutnya, PPS terbaharu adalah di daerah Kudat iaitu Rest House Lama Karakit, yang menempatkan 15 mangsa banjir membabitkan tiga keluarga sekaligus menjadikan tiga PPS beroperasi di daerah berkenaan.

Dua PPS lain ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Tun Dato Hj Mustapha dengan 90 mangsa daripada 14 keluarga dan SK Sikuati yang menempatkan 801 mangsa daripada 228 keluarga.

Dalam pada itu, empat penempatan sementara sudah dibuka sekitar daerah Kota marudu untuk dijadikan PPS penduduk terjejas banjir.

Empat PPS terbabit iaitu di Dewan Kampung Asin-Asin yang terdapat 307 mangsa dari 120 keluarga, Sekolah Kebangsaan (SK) SK Taritipan (324 mangsa dari 80 keluarga), SK Advent Damai (25 mangsa dari 13 keluarga) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tandek (54 mangsa daripada 33 keluarga).

Sementara itu, terdapat dua PPS beroperasi di Pitas iaitu Dewan Kampung Kusilad yang menempatkan 49 mangsa daripada 13 keluarga dan SK Pekan II membabitkan 15 mangsa dari tiga keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2021 @ 12:59 PM