MANGSA banjir dari Kampung Taka, Pitas, dipindahkan ke PPS hari ini. FOTO Ihsan APM.
MANGSA banjir dari Kampung Taka, Pitas, dipindahkan ke PPS hari ini. FOTO Ihsan APM.
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Jumlah mangsa banjir di Sabah terus meningkat kepada 1,421 orang setakat 8 malam ini, berbanding 607 mangsa yang direkodkan petang tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah berkata, jumlah itu membabitkan sebanyak 495 Ketua Isi Rumah (KIR) daripada empat daerah.

Katanya, Kota Marudu mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 806 mangsa, diikuti dengan Kudat (381 mangsa), Paitan (155 mangsa) dan Pitas (79 mangsa).

"Semua mangsa yang terjejas dipindahkan ke 17 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang diaktifkan di daerah berkenaan.

"Tiga PPS dengan jumlah mangsa tertinggi ialah Dewan Kampung Asin-Asin (357 mangsa) dan Dewan Komuniti (248 mangsa) di Kota Marudu serta Dewan SK Sikuati (322 mangsa) di Kudat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, berdasarkan kenyataan itu, terdapat enam PPS yang masih dalam proses pemurnian data oleh pihak berwajib.

Sehubungan itu, trend situasi semasa banjir di negeri ini terus mencatat peningkatan dengan pertambahan jumlah mangsa di PPS.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 January 2023 @ 9:17 PM