Gambar hiasan
Gambar hiasan
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Taiping: Impian seorang pesara memperoleh pulangan hampir 10 kali ganda hasil pelaburan emas musnah apabila kerugian lebih RM1.1 juta selepas diperdaya skim pelaburan emas tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat, berkata mangsa iaitu lelaki berumur 60 tahun itu ditawarkan oleh seorang wanita yang dikenalinya menerusi aplikasi temu janji percintaan untuk melabur dalam skim pelaburan emas dikenali sebagai 'Alpha Tradex'.

"Mangsa memasukkan wang berjumlah RM1,177,950 secara berperingkat melalui lapan akaun yang diberikan oleh suspek terbabit yang mendakwa dirinya sebagai wanita warga Singapura, bagi pelaburan itu.

"Kononnya hasil pelaburan ditawarkan itu membolehkan mangsa mendapat keuntungan mencecah USD2,712,447 (RM11,272,929.73)," katanya dalam satu kenyataan.

Osman berkata, ketika ingin menunaikan (mengeluarkan) wang keuntungan dari pelaburan itu, mangsa diberikan satu resit transaksi kemasukan wang ke dalam akaunnya.

"Bagaimanapun ketika membuat semakan akaun miliknya, mangsa mendapati tiada kemasukan wang seperti tercatat pada resit berkenaan.

"Mangsa seterusnya membuat semakan di Ambank sebelum mendapati resit transaksi yang ditunjukkan oleh suspek adalah palsu, sebelum hadir membuat laporan polis mengenai kerugian ditanggungnya," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, dan siasatan lanjut masih diteruskan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 November 2020 @ 1:38 PM