M Hifzuddin Ikhsan


Kangar: Dua petani Thailand yang terbabit kes serangan ke atas dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di Padang Besar pada 24 November lalu, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas kesalahan memasuki negara ini tanpa pas sah.

Tertuduh, Dah Wae Hatama, 36, membuat pengakuan bersalah, manakala rakannya, Mahyee Ma-ae, 34, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Musyiri Peet.

Musyiri menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan tiga sebatan ke atas Dah Wae.

Mengikut pertuduhan, Dah Wae didakwa tidak memiliki apa-apa pas sah yang dikeluarkan mengikut undang-undang untuk masuk ke negara ini ketika ditahan di sebuah pondok di Batu 20, Jalan Padang Besar pada 8.26 pagi, 24 November 2020.

Mahyee turut didakwa atas kesalahan sama ketika ditahan di sebuah rumah di Batu 22, Jalan Padang Besar pada 8 pagi, tarikh serupa.

Berikutan itu, kedua-dua tertuduh didakwa melanggar Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM10,000 atau penjara lima tahun dan sebatan enam kali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Izham Ali, manakala Dah Wae diwakili peguam Syed Mohammad Anwar Syed Lokman Hakim.

Terdahulu, Mohd Izham menuntut hukuman berat dikenakan ke atas Dah Wae kerana kes membabitkan kepentingan awam, namun Syed Mohammad Anwar merayu hukuman ringan ke atas anak guamnya kerana tertuduh mempunyai tiga tanggungan iaitu isteri dan dua anak berusia lima serta 12 tahun di Thailand.

Bagaimanapun, Mahyee tidak diwakili peguam. Mahkamah kemudian menetapkan 1 Februari depan bagi sebutan semula kesnya dan serahan dokumen.

Dalam kejadian pada jam 3.10 pagi, 24 November 2020, berdekatan Felda Mata Ayer, Padang Besar, anggota PGA, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, meninggal dunia di lokasi selepas terkena tembakan penyeludup ketum, manakala rakannya, Sarjan Norihan Tari, 39, parah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 January 2021 @ 11:56 AM
ANGGOTA polis mengiringi dua tertuduh yang terbabit kes serangan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) untuk didakwa di Mahkamah Sesyen Kangar. FOTO Amran Hamid.
ANGGOTA polis mengiringi dua tertuduh yang terbabit kes serangan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) untuk didakwa di Mahkamah Sesyen Kangar. FOTO Amran Hamid.