Aizat Sharif


Kangar: Tiga individu termasuk seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas dua pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan menggunakan senjata berbahaya terhadap dua pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Taman Rekreasi Bukit Jernih, Padang Besar pada 19 September lalu.

Tertuduh, Mohamad Shazenie Awang, 22, Mohd Firdaus Salin, 26 dan Azrina Amran, 19, mengangguk faham serta minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Musyiri Peet.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didapati melakukan rompakan berkumpulan menggunakan senjata berbahaya iaitu sebilah pisau terhadap Lim Jing Ning, 24, untuk menyerahkan telefon bimbit jenama IPhone XR di Taman Rekreasi Bukit Jernih, Kampung Titi Tampang, Padang Besar pada 19 September jam 5.22 petang.

Manakala bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didapati melakukan rompakan berkumpulan menggunakan senjata berbahaya iaitu sebilah pisau terhadap Ong Hong Liang, 24, untuk menyerahkan wang tunai sebanyak RM20 di tarikh, lokasi dan waktu yang sama seperti pertuduhan pertama.

Oleh itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama dengan Seksyen 397 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun serta sebatan.

Pendakwaan dilaksanakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Izham Ali manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Hapiz Rajali dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Mohd Izham memohon mahkamah untuk menetapkan tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan jaminan dicadangkan kepada tertuduh adalah RM12,000 setiap seorang bagi kedua-dua pertuduhan.

Sementara itu, Mohd Hapiz pula dalam rayuannya memohon mahkamah memberikan jaminan yang setimpal kepada anak guamnya memandangkan tertuduh, Mohamad Shazenie hanya bekerja sebagai nelayan, Mohd Firdaus pula adalah seorang buruh dan Azrina tidak bekerja.

Selain itu, Mohd Shazenie juga adalah seorang duda yang menanggung anak berusia tiga tahun, Mohd Firdaus pula sudah berkahwin dan menanggung tujuh anak manakala Azrina pula tinggal bersama ibunya selepas bapa meninggalkan keluarganya kerana bercerai dan mempunyai adik seramai sembilan orang.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 setiap seorang dengan seorang penjamin serta menetapkan 26 Oktober hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Tertuduh, Shazenie (kanan) dan Firdaus (kiri) dibawa keluar dari lokap mahkamah. FOTO AIZAT SHARIF
Tertuduh, Shazenie (kanan) dan Firdaus (kiri) dibawa keluar dari lokap mahkamah. FOTO AIZAT SHARIF

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 September 2021 @ 12:04 PM