Kuala Lumpur: Seorang pemasang siling didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan menghalang tugas anggota polis di sebuah kelab malam di Jalan Klang Lama, Brickfields, di sini, Sabtu lalu.

Majistret Nurul' Ain Abdul Rahim menjatuhkan hukuman itu terhadap Ng Keng Gen,31, apabila tertuduh mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara empat bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menghalang Sarjan P Kameela menjalankan tugas dengan cara menolak dan menumbuk bahu anggota polis itu yang sedang menjalankan pemeriksaan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah premis di Plaza Prima, Batu 1/2, Jalan Klang Lama, Brickfields, di sini, pada jam 1.45 pagi, 22 November lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Ketika rayuan, peguam Farhan Maarof yang mewakiki tertuduh memohon mahkamah mempertimbangkan hukuman denda atas alasan anak guamnya tidak mengetahui Kameela seorang anggota polis kerana berpakaian preman selain isteri tertuduh kini mengandung enam bulan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya N Joy Jothi memohon hukuman setimpal kerana menurut fakta kes kejadian berlaku selepas anggota polis itu memperkenalkan diri dan menunjukkan kad kuasanya serta melakukan pemeriksaan ke atas teman wanita tertuduh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 November 2014 @ 7:31 AM