Foto hiasan
Foto hiasan
Rafiqah Dahali

Kota Kinabalu: Kalabakan kembali menjadi zon merah apabila merekodkan lebih 40 kes aktif Covid-19 susulan pertambahan jangkitan baharu, semalam.

Ia menjadikan 18 daerah di Sabah berada dalam kategori zon merah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II Sabah, Datuk Masidi Manjun dalam satu kenyataan media berkata, Kalabakan mencatatkan sebanyak tiga kes baharu semalam.

"Selain itu, Tongod juga bertukar dari zon hijau ke zon kuning semalam apabila mencatatkan sebanyak dua kes baharu.

"Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), jumlah kes positif baharu Covid-19 semalam adalah sebanyak 303 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 38,172 kes.

"Sebanyak tiga kes kematian direkodkan iaitu masing-masing satu kes di Tawau, Keningau dan Lahad Datu.

"Seramai 147 pesakit Covid-19 sembuh di negeri itu semalam menjadikan jumlah kumulatif sembuh 35,530 orang.

"Seramai 1,971 pesakit sedang menerima rawatan ketika ini iaitu 665 orang di hospital dan 1,306 orang di pusat kuarantin dan rawatan berisiko rendah (PKRC).

"Bilangan pesakit Covid-19 dalam unit rawatan rapi ialah 52 orang dan 15 orang pula memerlukan alat bantuan pernafasan," katanya.

Sementara itu, Masidi berkata, kes tertinggi dalam zon merah direkodkan di Kota Kinabalu dengan 64 kes diiikuti Tawau (47), Lahad Datu (39), Penampang (32), Sipitang (22), Papar (19), Sandakan (16), Putatan (14), Kota Belud (10), Keningau (8) dan Kunak (1).

Bagi Tuaran, Ranau dan Semporna pula, masing-masing merekodkan sebanyak tiga kes.

Bagi zon jingga yang membabitkan Pitas mencatatkan sebanyak sembilan kes, Kota Marudu (3), Beaufort (1) dan Tenom tidak mencatatkan sebarang kes baharu semalam.

Selain Tongod, empat daerah di zon kuning iaitu Telupid, Kuala Penyu, Beluran tidak mencatatkan kes baharu.

Daerah Nabawan kekal sebagai sebagai zon hijau berikutan juga tidak mencatatkan sebarang kes baharu.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 January 2021 @ 9:12 AM