GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Tiga daerah bertukar menjadi zon jingga sekaligus menjadikan jumlah zon merah di Sabah menunjukkan trend penurunan, semalam.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata adalah daerah terbabit adalah daerah Semporna, Tongod dan Kunak.

"Manakala daerah Kalabakan sudah bertukar menjadi zon kuning," katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, semalam.

Mengulas mengenai kes harian Covid-19, Masidi berkata kedudukan jangkitan di Sabah tidak banyak berubah.

"Terdapat penurunan kecil kes iaitu semalam sebanyak 655 kes berbanding Rabu lepas yang mencatatkan 675 kes.

"Sebanyak 14 daerah mencatatkan penurunan kes dengan lima daripadanya merekodkan penurunan signifikan iaitu Kinabatangan sebanyak 6 kes, Kota Belud (44); Sandakan (10); Kota Kinabalu (69) dan Kota Marudu (40) kes.

"Selain itu, 12 daerah lagi mencatatkan peningkatan dengan enam daerah menunjukkan peningkatan agak tinggi iaitu Tuaran sebanyak 59 kes, Putatan (32); Tawau (19); Pitas (33); Ranau (71) dan Penampang (41) kes," katanya.

Dalam pada itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri berkata tiga kes kematian dilaporkan semalam.

"Kes kematian masing-masing mencatatkan satu kes membabitkan daerah Sipitang, Kunak dan Penampang.

"Bilangan pesakit COVID-19 sembuh ialah 378 menjadikan jumlah kumulatif 208,950 orang.

"Manakala 1,869 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 723 orang di hospital, 1,133 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, 12 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) manakala seorang di fasiliti swasta," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 November 2021 @ 8:10 AM