PATI yang ditahan ketika menghampiri sempadan Indonesia di Sabah sebelum mereka diusir ke negara asal. Foto Ihsan ATM
PATI yang ditahan ketika menghampiri sempadan Indonesia di Sabah sebelum mereka diusir ke negara asal. Foto Ihsan ATM
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Tiga pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia serta bayi berusia tujuh bulan diusir ke pulang ke negara asal selepas ditahan untuk pemeriksaan oleh pihak berkuasa semalam.

Markas Divisyen Kelima Infantri Malaysia pada kenyataan berkata, pihaknya mengesan warga asing terbabit sedang menghampiri sempadan Indonesia ketika melakukan rondaan Op Benteng di sekitar Serudong, Tawau, Sabah pada 3 petang.

"PATI itu membabitkan dua individu dewasa lelaki dan seorang perempuan berusia 38 hingga 48 tahun bersama bayi.

"Pemeriksaan mendapati mereka tidak memiliki dokumen perjalanan diri sah. Mereka mengatakan mahu pulang ke negara asal selepas gagal mendapatkan pekerjaan di sektor perladangan," katanya hari ini.

Menurut kenyataan, mereka mendakwa sudah tinggal di negara ini sejak awal tahun sebelum mengambil keputusan untuk pulang kerana peluang pekerjaan yang terhad berikutan pandemik Covid-19.

"Mereka kemudiannya diusir keluar dari Malaysia dengan diiringi oleh anggota pasukan peronda ke sempadan Indonesia pada 5.20 petang," katanya.

Sementara itu, Panglima 5 Briged Brigadier Jeneral Zambery Jefry Darus berkata, pihaknya akan terus memperketatkan dan meneruskan kawalan di sempadan daratan.

"Ia bagi memastikan Op Benteng dapat diperkukuhkan daripada aktiviti warga asing ini dan ancaman anasir-anasir lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Disember 2020 @ 2:23 PM