ANTARA pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Indonesia dan Myanmar yang ditahan dalam Operasi Benteng di perairan laut Jeram. FOTO IHSAN PPM SELANGOR
ANTARA pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Indonesia dan Myanmar yang ditahan dalam Operasi Benteng di perairan laut Jeram. FOTO IHSAN PPM SELANGOR
BERNAMA

Kuala Lumpur: Aktiviti penyeludupan migran ke negara ini dijangka terus meningkat walaupun ketika negara masih dilanda pandemik Covid-19.

Penolong Kanan Pengarah Kastam (Bahagian Penguatkuasaan) Najmi Mohd Radzi berkata, peningkatan itu berlaku susulan kadar vaksinasi dalam negara sudah melepasi 80 peratus dan sektor ekonomi sudah dibenarkan beroperasi.

Beliau berkata, Malaysia adalah negara destinasi kepada migran dari negara sumber.

"Walaupun Malaysia dan negara serantau masih dilanda pandemik Covid-19, kemasukan migran masih berterusan dan meningkat.

"Bagi membendung kegiatan penyeludupan migran, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) memperhebatkan operasi risikan ke atas anasir-anasir penyeludupan di kawasan pendaratan tumpuan secara bersepadu melalui kaedah rondaan di darat dan perairan.

"Sekatan jalan raya dan rondaan air dilakukan termasuk pemeriksaan ke atas kapal-kapal, bot, sampan dan tidak terkecuali juga sangkar-sangkar ikan. JKDM mempunyai 122 aset bot laju bagi melaksanakan tugas-tugas di perairan," katanya tadi.

Najmi berkata perkongsian maklumat antara agensi menerusi mesyuarat berkala dengan pembabitan semua agensi penguatkuasaan Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Orang (ATIPSOM) serta maklumat diperoleh melalui perkongsian perisikan antara agensi dalam Operasi Benteng (Op Benteng) juga membantu pihaknya dalam menyekat kemasukan migran ke negara ini.

Menurutnya, berdasarkan statistik bagi tempoh 2019 hingga 2021, JKDM menahan 13 tekong dan 107 migran warga Indonesia, Myanmar dan Thailand.

Dalam pada itu, beliau berkata Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) menurunkan kedudukan Malaysia ke Tier 3 dalam Laporan Pemerdagangan Manusia (TIP) 2021 kerana tidak mematuhi standard minimum yang ditetapkan untuk membanteras pemerdagangan dan tidak menunjukkan sebarang usaha yang signifikan.

"Oleh yang demikian, bagi menyokong usaha-usaha kerajaan untuk menaikkan kembali nama Malaysia ke Tier yang lebih baik, JKDM komited untuk menjayakannya.

"Pegawai di lapangan dinasihatkan sentiasa melihat jika ada wujudnya indikator eksploitasi terutamanya buruh paksa semasa melakukan penahanan berkaitan kes kastam yang melibatkan pembabitan warga asing," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kaedah penyeludupan rokok tidak sah bertukar taktik daripada pelabuhan kepada penyeludupan melalui perairan negara dan kawasan pendaratan yang tidak diwartakan.

Jelasnya modus operandi penyeludupan barang dan migran hampir sama iaitu dengan melihat air pasang surut dan menggunakan bot-bot kecil bagi melakukan jenayah rentas sempadan ini. - Bernama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 September 2021 @ 3:43 PM