LORI yang dipercayai digunakan untuk membawa Pati keluar. FOTO  Ihsan Markas Divisyen Kelima Infantri Malaysia.
LORI yang dipercayai digunakan untuk membawa Pati keluar. FOTO Ihsan Markas Divisyen Kelima Infantri Malaysia.
Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Cubaan 24 pendatang asing tanpa izin (Pati) menyusup keluar secara haram mengundang padah apabila ditahan dalam Op Benteng di sebuah ladang di Serudong, dekat sini, kelmarin.

Kesemua mereka yang menaiki lori dan motosikal ditahan sepasukan anggota dari Markas Divisyen Kelima Infantri Malaysia (5 Div) selepas disyaki cuba menyeberangi sempadan negara untuk pulang ke negara asal.

Panglima Briged Ketiga Belas Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Zambery Jefry Darus berkata, kesemua Pati itu terdiri daripada 23 lelaki dan seorang wanita warga Indonesia berusia antara 18 hingga 53 tahun ditahan antara jam 9 hingga 9.30 malam.

Menurutnya, turut ditahan seorang pemandu lori yang mempunyai status Pemastautin Tetap (PR) yang disyaki berperanan membawa kesemua Pati berkenaan ke kawasan sempadan.

"Siasatan awal mendapati kesemua Pati adalah pekerja sebuah ladang di sini dan tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan atau pengenalan diri yang sah," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Zamberi berkata, tangkapan bersama barang rampasan termasuk dua lori dan sebuah motosikal yang dianggarkan mencecah hampir RM 39,820.00 dibawa ke Balai Polis Kalabakan untuk tindakan lanjut.

"Tentera Darat yang melaksanakan operasi akan meneruskan kawalan di sempadan daratan bagi memastikan Op Benteng dapat diperkukuhkan selain mengekang aktiviti keluar masuk Pati demi keselamatan negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2020 @ 10:31 AM